Wednesday, May 8, 2024
HomeBREAKING NEWSSanusi mahu Putrajaya campur tangan isu bayaran sumber air Kedah-Pulau Pinang

Sanusi mahu Putrajaya campur tangan isu bayaran sumber air Kedah-Pulau Pinang

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, apabila wujud kos penyelenggaraan sumber dan aliran, sewajarnya kos itu turut dipikul oleh Pulau Pinang selaku penerima faedah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan persekutuan diminta menjadi fasilitator dalam menjayakan rundingan penyelesaian isu bayaran sumber air mentah yang dituntut oleh Kedah daripada Pulau Pinang.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, adalah tidak wajar Kedah terpaksa berkorban bagi mengekalkan tanah hutan yang luas dan menanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran.

“Sementara Pulau Pinang pula menikmati faedah dan keuntungan secara percuma.

“Apabila wujud kos untuk penyelenggaraan sumber dan aliran, sewajarnya kos itu turut dipikul oleh Pulau Pinang selaku pihak penerima faedah.

“Apatah lagi, kos melepas akibat pengekalan kawasan tadahan di Ulu Muda semakin hari semakin meningkat,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, Sanusi ‘silap orang’ apabila menuntut RM50 juta setahun daripada negeri itu sebagai pampasan berhubung penggunaan air mentah Sungai Muda.

Chow berkata Sanusi sepatutnya menuntut RM50 juta itu daripada Putrajaya kerana kerajaan pusat bertanggungjawab penuh ke atas semua isu yang melibatkan air mentah.

Sanusi sebelum ini mempertikaikan lawatan pegawai pihak berkuasa air Pulau Pinang ke Hutan Simpan Ulu Muda di Kedah untuk “menjalankan tugas”.

Sanusi menyifatkan tindakan pegawai Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu sebagai ‘mencerobohi’ sempadan Kedah.

Dalam pada itu, Sanusi berkata PBAPP sepatutnya membayar caj pengekstrakan air dari sumber air mentah Kedah agar manfaatnya dapat dikongsikan secara bersama rakyat di kedua-dua negeri.

Beliau merujuk kepada perjanjian 1985, dengan persepakatan yang dicapai bertujuan “menjamin bekalan air dari Ulu Muda yang terletak di negeri Kedah.”

“Perjanjian 1985 perlu disemak semula memandangkan keperluan bekalan air semakin meningkat di samping keperluan pembangunan dan pengekalan kelestarian alam semulajadi bagi tujuan mengekalkan sumber air turut meningkat,” katanya.

Sanusi berkata, jaminan ini hanya bermaksud menjamin bekalan air kepada Pulau Pinang bukan jaminan bekalan air mentah secara percuma selama-lamanya.

Katanya, selepas 35 tahun, keperluan untuk terus memberi jaminan air sudah berubah mengikut keperluan dan permintaan bekalan air terawat pada masa kini.

“Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) mengenakan caj kepada pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi setiap meter padu yang diekstrak (800 mld) bagi tujuan membekalkan bekalan air terawat kepada seluruh rakyat Kedah.

“Caj yang sama patut dikenakan kepada pihak (PBAPP) yang mengekstrak setiap meter padu menggunakan sumber air berasal dari Sungai Muda.

“Walaupun sumber air yang diekstrak adalah di sebelah sempadan negeri Pulau Pinang, tetapi sumber asal air tersebut adalah dari Sungai Muda di kawasan tadahan Ulu Muda,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments