Thursday, March 28, 2024
HomeBREAKING NEWSSabah benarkan solat Jumaat, jemaah di masjid, surau

Sabah benarkan solat Jumaat, jemaah di masjid, surau

Solat berjemaah lima waktu dibenarkan dengan kapasiti 1/3 dewan solat, manakala solat Jumaat perlu berdasarkan keluasan dewan solat serta penjarakan fizikal.

KOTA KINABALU: Aktiviti di semua masjid dan surau, termasuk solat berjemaah lima waktu serta solat Jumaat dibenarkan di seluruh Sabah mulai semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun.

Beliau berkata, solat berjemaah lima waktu dibenarkan dengan kapasiti 1/3 dewan solat, manakala solat Jumaat perlu berdasarkan keluasan dewan solat serta penjarakan fizikal.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan Covid-19 berkata, aktiviti masjid dan surau, termasuk kuliah Maghrib dan Dhuha boleh diadakan tidak lebih sejam.

Katanya, aktiviti kelas agama pula boleh diadakan di dewan atau bilik khas masjid dengan tidak lebih 20 peserta dalam tempoh kurang daripada lima jam, begitu juga majlis akad nikah yang dibenarkan dengan kehadiran tidak lebih 20 orang mengikut saiz ruang majlis.

“Bagaimanapun, mereka yang terlibat dengan majlis akad nikah perlu menjaga disiplin dan mematuhi semua SOP, seperti jamuan makan dan minum dalam bentuk bungkusan saja dibenarkan.

“Selain itu, had umur kanak-kanak yang dibenarkan hadir ke masjid dan surau adalah 10 tahun ke atas.”

Masidi berkata, semua pusat perubatan tradisional dan komplimentari, termasuk fasiliti pengamal perubatan Islam dibenarkan beroperasi dengan mematuhi SOP sektor kesihatan.

“Antaranya, petugas mesti sentiasa memakai alat perlindungan diri apabila berurusan dengan pelanggan dan pelanggan wajib memakai pelitup muka serta menjalani saringan suhu badan dan gejala di pintu masuk premis.

“Setiap sesi perkhidmatan tidak boleh melebihi sejam, manakala perkhidmatan secara berpasangan atau berkumpulan dilarang, selain perkhidmatan merangsang pengeluaran cairan tubuh seperti kahak, hingus, lendir dan muntah tidak dibenarkan.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments