Friday, April 26, 2024
HomeBREAKING NEWS‘Sumbat’ pekerja dalam kontena: kilang sarung tangan diperintah tutup

‘Sumbat’ pekerja dalam kontena: kilang sarung tangan diperintah tutup

Kilang terbabit membina dua blok rumah kontena tiga tingkat untuk pekerjanya. (Gambar Jabatan Tenaga Kerja)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memerintahkan sebuah kilang sarung tangan di Kajang ditutup selama tujuh hari kerana gagal mematuhi langkah pencegahan wabak Covid-19.

Dalam serbuan melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa hari ini, 781 pekerja didapati tinggal dalam dua blok kontena setinggi tiga tingkat di bahagian belakang kilang terbabit, yang merupakan kesalahan bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, yang hadir sama dalam serbuan itu turut mengesahkan 759 daripada 781 pekerja terbabit merupakan warga asing.

Notis penutupan yang dilihat FMT menyebut, kilang berkenaan diperintah tutup mulai 24 Dis sehingga 30 Dis kerana “berada dalam keadaan yang mungkin boleh menyebabkan bermulanya, atau merebaknya penyakit berjangkit kepada orang ramai” mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit.

Menggambarkan kawasan petempatan itu sebagai “sangat kotor”, sumber Jabatan Tenaga Kerja berkata, pekerja terbabit tinggal dalam keadaan “sempit dan sesak”.

Operasi bersama mendapati kilang tidak memohon kebenaran menggunakan kontena sebagai tempat tinggal. (Gambar Jabatan Tenaga Kerja)

“Mereka tinggal dalam kontena. Itulah masalahnya. Jika ruang itu sesuai untuk 100 orang, mereka (syarikat) penuhkan sehingga 400 orang,” katanya kepada FMT.

Operasi bersama itu turut mendapati pihak kilang melanggar Seksyen 70 Akta Jalan, Parit, dan Bangunan kerana mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Kajang.

Sumber Jabatan Tenaga Kerja juga memaklumkan bahawa kilang sarung tangan itu tidak memohon sijil tempat penginapan untuk menggunakan kontena sebagai tempat tinggal, syarat penting mengikut Akta Standard Minimum, Perumahan, dan Kemudahan Pekerja.

“Pertama, syarikat perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan sekiranya mereka mahu bina tempat penginapan, selepas itu mereka boleh memohon sijil tempat penginapan daripada kami.

Notis perintah tutup KKM memerintahkan kilang ditutup dari 24 Dis sehingga 30 Dis. (Gambar Jabatan Tenaga Kerja)

“Walaupun mereka kata ia hanyalah tempat penginapan sementara, mereka mesti merancangnya dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Dalam kenyataannya, Saravanan berkata, operasi tersebut antara langkah proaktif yang diambil bagi memastikan Akta 446 dilaksanakan secara komprehensif dan berterusan.

Penguatkuasaan Akta 446 bermula pada 26 Nov lepas dan ia mewajibkan majikan menyediakan ruang minimum untuk tempat tinggal pekerja, kemudahan asas, serta standard keselamatan, dan kebersihan.

Apabila dihubungi, wakil syarikat enggan memberikan sebarang komen berhubung serbuan berkenaan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments