Sunday, December 22, 2024
HomeBREAKING NEWSSegera bentang RMK12 elak persepsi darurat jejas minat pelabur, gesa ahli ekonomi

Segera bentang RMK12 elak persepsi darurat jejas minat pelabur, gesa ahli ekonomi

Ahli ekonomi berkata menggesa kerajaan melancarkan RMK12 dengan fokus menarik pelabur asing.

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi menggesa Putrajaya segera membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), berikutan persepsi minat pelabur asing akan terjejas selepas darurat diisytiharkan.

Ahmed Razman Abdul Latiff, pensyarah kanan di Putra Business School, berkata, kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali yang pelaksanaan darurat tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur hanya akan terbukti melalui data pelaburan langsung asing bagi 2021.

“Azmin hanya boleh sokong kenyataan itu dengan memberi maklumat tambahan seperti berapa ramai pelabur asing yang masuk ke dalam negara pada suku pertama tahun ini dan boleh buat perbandingan pelaburan asing pada suku tahun pertama tahun lepas.

“Kita sepatutnya sudah lancarkan RMK12. Namun, semua ini belum kedengaran. Jika RMK12 dilancarkan dengan fokus menarik pelabur asing, sudah tentu ia sedikit sebanyak memberi keyakinan darurat ini tidak akan menjejaskan pelaburan asing,” katanya kepada FMT.

Pada 17 Jan, Azmin dilaporkan berkata, pelaksanaan darurat terhad sebelum ini seperti di Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah terbukti tidak menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Justeru, katanya, perisytiharan darurat di seluruh negara Selasa lalu, akan memberikan keyakinan kepada pelabur asing yang didakwa melihat langkah itu sebagai kesungguhan kerajaan untuk menangani penularan Covid-19.

Namun, bagi Razman, tidak guna Azmin bercakap tanpa melihat fakta, sebaliknya Putrajaya perlu menambah baik dasar bagi memastikan pelabur asing terus selesa melabur di Malaysia.

“Mungkin kerajaan boleh menjelaskan atau menambah baik Dasar Automotif Negara 2020 supaya kita juga mendapat pelaburan daripada syarikat kereta antarabangsa yang mahu menumpukan pengeluaran kereta elektrik dan komponen berkaitan seperti bateri elektriknya.

“Hal ini kerana, jika dilihat apa yang berlaku di negara jiran, Indonesia, banyak syarikat kereta sudah membuat pelaburan sedemikian di sana.”

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia pula berkata, isu sebenar yang menyebabkan pelabur asing “lari” ke negara lain disebabkan penularan Covid-19 yang terus mencatatkan empat angka setiap hari.

“Ini adalah satu isu timbal balas, iaitu jika darurat tidak diisytiharkan, maka sudah pasti penularan Covid-19 tidak dapat diatasi dan bila penularan Covid-19 tidak dapat diatasi, maka pasti pelabur asing tidak akan masuk ke negara ini.

“Perisytiharan darurat langkah amat baik bagi memperuntukkan kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang penularan Covid-19 lebih serius di negara ini, sekaligus menarik pelabur asing masuk semula.”

Bagaimanapun katanya, Putrajaya tentunya tidak dapat mengelakkan kesan jangka pendek ekonomi susulan penguatkuasaan darurat.

Baginya, inilah “harga” yang perlu dibayar pimpinan Perikatan Nasional “demi menyelamatkan nyawa rakyat”.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments