Wednesday, May 8, 2024
HomeBREAKING NEWSSalah satu akhbar tertua di Sabah akan ditutup bulan ini

Salah satu akhbar tertua di Sabah akan ditutup bulan ini

New Sabah Times dijadualkan ditutup akhir bulan ini selepas beroperasi selama 70 tahun.

KOTA KINABALU: Sabah akan kehilangan satu daripada akhbar tertuanya, apabila New Sabah Times dijadualkan melabuhkan tirainya akhir bulan ini.

Akhbar itu yang ditubuhkan pada 1949, tetapi melalui beberapa penjenamaan semula sejak itu, akan ditutup selepas 70 tahun.

Pengarah Urusannya, Felix Gusti berkata, kejatuhan mendadak dalam pengedaran dan hasil pengiklanan antara punca penutupan itu.

“Kami masih mempunyai beberapa kertas cetak dan perlu menghabiskannya menjelang 31 Dis. Selepas itu, ia akan ditutup selamanya, itu saja yang saya boleh beritahu anda,” katanya kepada FMT.

“Saya rasa pesaing kami, Borneo Post dan Daily Express, turut mengalami masalah sama. Walaupun mereka mungkin mempunyai alasan lain untuk meneruskan (operasi), tetapi kami beroperasi pada defisit sangat besar setiap bulan.”

Gusti berkata, kos operasi terlalu tinggi, walaupun jika akhbar itu dicetak pada jumlah lebih sedikit.

“Pertama, pengedaran kami jatuh begitu banyak. Apabila ia merosot, ia bermakna pengiklanan turut jatuh. Tiada orang mahu mengiklan apabila pengedaran sedikit,” katanya sambil menambah beliau akan mengeluarkan kenyataan selepas perjumpaan dengan kakitangan Khamis ini.

Gusti dijadualkan bercakap dengan kira-kira 90 kakitangannya dari bahagian editorial dan bukan editorial pada hari itu, dengan kakitangan di bandar lain akan dimaklumkan melalui sidang video.

Beliau antara lain dijangka membincangkan prosedur pemberhentian dengan kakitangannya.

Seorang kakitangan yang enggan dinamakan, mendakwa pihak pengurusan masih berbelah bahagi sama ada mahu meneruskan penutupan itu.

“Kami dengar pengurusan masih 50-50 mengenai penutupan itu. Separuh daripada mereka mahu ia ditutup, tetapi yang lain masih menaruh harapan untuk akhbar itu diteruskan, atau sekurang-kurangnya mengekalkan namanya,” kata sumber itu.

Kakitangan itu berkata, ada yang berharap akhbar itu akan mengambil arah baru seperti mempunyai versi dalam talian berbanding penutupan.

Selain New Sabah Times, Daily Express dan Borneo Post ialah dua akhbar harian tempatan berbahasa Inggeris yang masih boleh didapati di negeri itu.

New Sabah Times turut mempunyai bahagian bahasa Melayu dan Kadazan Dusun, yang agak popular dalam kalangan pembacanya.

Susulan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2018, timbul spekulasi akhbar itu akan ditutup akibat kekurangan dana secara mendadak.

Sabah Times ditubuhkan Fuad Stephens, yang kemudiannya dilantik sebagai ketua menteri Sabah pertama.

Ia dinamakan semula kepada North Borneo News & Sabah Times dan Kinabalu Sabah Times sebelum kembali kepada Sabah Times.

Sabah Times menghentikan cetakan pada 1995, tetapi dihidupkan semula tiga tahun kemudian sebagai New Sabah Times.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments