Saturday, May 18, 2024
HomeBREAKING NEWSPesalah dalam kes rogol remaja bawah umur dalam lokap mesti dihukum, kata...

Pesalah dalam kes rogol remaja bawah umur dalam lokap mesti dihukum, kata pemimpin DAP

Kasthuri Patto berkata, Bukit Aman atau polis negeri tidak boleh menjalankan siasatan yang adil dan bebas susulan ketiadaan CCTV seperti dijanjikan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen menggesa tindakan segera diambil dalam kes seorang gadis berusia 16 tahun didakwa diperkosa oleh seorang tahanan lain ketika ditahan di lokap polis di Miri pada 9 Jan lepas.

Ahli Parlimen (Batu Kawan-DAP) Kasthuri Patto berkata, beliau tergamam apabila membaca laporan mengenai kejadian tersebut, sekali gus menyebut bahawa adalah satu kesalahan bagi polis yang bertugas ketika itu menahan remaja bawah umur di dalam lokap bersama tahanan lain.

” Di kala bilangan kes positif Covid-19 melambung tinggi sehingga mencecah angka melebihi 4000 kes sehari, insiden jenayah seksual lebih cenderung terlepas pandang akibat fokus masyarakat sejagat terhadap kewujudan kluster baharu, komuniti yang dijangkiti dan bilakah vaksin Covid-19 akan sampai ke negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun, menyambut baik jaminan ketua polis Sarawak untuk menggantung kedua-dua anggota polis yang bertugas dan berjanji untuk melakukan siasatan mendalam mengenai kejadian itu.

Kes tersebut, yang ditimbulkan oleh Senator DAP Alan Ling, didakwa berlaku pada 9 Jan antara jam 4 pagi dan 5 pagi, sehari selepas remaja itu ditahan dalam satu serbuan judi.

Kasthuri Patto.

Kasthuri berkata, polis semestinya tahu bahawa SOP mereka tidak membenarkan kanak-kanak ditahan dalam lokap polis.

” Kedua, bagaimana suspek yang juga dalam tahanan lokap dalam balai polis yang sama memperoleh akses kepada mangsa kanak-kanak ini?

“Tidakkah anggota polis yang bertugas di balai tersebut perasan bahawa seorang tahanan tiada dalam lokap?

“Tidakkah mereka mendengar apa-apa bunyi yang mencurigakan dari lokap mereka? Adakah balai polis ini dilengkapi dengan kamera litar tutup CCTV sepertiyang dilaung-laungkan sebelum ini bahawa semua lokap di seluruh negara akan mempunyai CCTV yang berfungsi?,”soalnya.

Kasthuri berkata, mustahil bagi Bukit Aman atau pihak polis negeri untuk menjalankan siasatan yang adil dan bebas tanpa adanya CCTV seperti dijanjikan.

Beliau berkata, perkara paling menakutkan yang boleh berlaku semasa pandemik ialah apabila golongan rentan, terutama kanak-kanak dan wanita dicabul oleh pihak yang sepatutnya melindungi mereka.

Kasthuri berkata, pemerkosaan kanak-kanak bawah umur yang berada dalam lokap polis sepatutnya menggegarkan negara.

“Kejadian ini membuktikan betapa penting wujudnya Suruhanjaya Bebas Tingkah Laku Polis (IPCC),” katanya, selain menambah bahawa Malaysia kini semakin mundur daripada menjadi negara yang progresif, saksama dan adil dalam menangani kes seperti itu.

“Sekiranya tiada tindakan undang-undang diambil terhadap penjenayah dan yang bersekongkol dengannya, maka kita semua gagal memberikan perlindungan kepada seorang kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi pihak pembela dan pelindung ini.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments