Friday, April 19, 2024
HomeBREAKING NEWSMMA sambut baik dana PERMAI untuk KKM

MMA sambut baik dana PERMAI untuk KKM

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, berkata sistem penjagaan kesihatan awam berada di tahap kritikal. (Gambar Bernama) 

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik peruntukan RM800 juta di bawah pakej bantuan perlindungan ekonomi dan rakyat Malaysia (PERMAI) untuk Kementerian Kesihatan (KKM) yang diharapkan dapat digunakan untuk menangani kekurangan tenaga kerja dalam usaha memerangi Covid-19.

“Peruntukan itu pasti sangat membantu,” kata Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy.

“Saya rasa kerajaan perlu meneliti pengambilan doktor dan menempatkan mereka dalam pekerjaan tetap bagi mengelakkan masalah tenaga kerja, terutamanya ketika hospital kerajaan dipenuhi pesakit sekarang.”

PERMAI, pakej rangsangan ekonomi kelima setakat ini, dilancarkan semalam. Ia bernilai RM15 bilion.

Dr Subramaniam Muniandy.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM mempunyai kemampuan membuka unit rawatan rapi (ICU) tambahan jika perlu, tetapi ia kekurangan tenaga kerja.

Ketika mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, sistem penjagaan kesihatan awam berada pada tahap kritikal dengan lebih 2,000 kes baru Covid-19 dilaporkan setiap hari.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berharap sumber yang diberikan kepada KKM boleh mengurangkan jumlah kes baru dan melandaikan lekuk jangkitan.

Dr Lee Boon Chye.

Beliau gembira kerajaan memutuskan untuk mengambil tambahan 3,500 kakitangan kesihatan menjelang akhir bulan ini, walaupun ia tidak memenuhi saranannya minggu lalu untuk kerajaan mewujudkan rangkaian pasukan pengesanan kontak yang terdiri daripada 10,000 pekerja khas tambahan.

“Perkara paling penting sekarang ialah menurunkan jumlah kes baru,” katanya kepada FMT semalam.

Azrul Mohd Khalib, CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, dana tambahan itu perlu digunakan untuk mengukuhkan prasarana penjagaan kesihatan negara.

Azrul Mohd Khalib.

“Kukuh dan tingkatkan serta pastikan mereka mendapat sumber dan tenaga kerja yang mereka perlukan,” katanya.

Muhyiddin ketika mengumumkan pakej bantuan PERMAI semalam, berkata 3,500 kakitangan penjagaan kesihatan yang bakal direkrut merangkumi penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknik makmal dan jururawat.

Katanya, sebahagian daripada wang itu akan digunakan untuk mendapatkan bekalan buat petugas barisan depan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments