Tuesday, November 5, 2024
HomeBREAKING NEWSMenteri sumber manusia dikuarantin kerana jadi kontak rapat pesakit Covid-19

Menteri sumber manusia dikuarantin kerana jadi kontak rapat pesakit Covid-19

M Saravanan berkata, hasil ujian swab Covid-19 semalam didapati negatif dan keputusan calitan kedua hari ini belum diperolehi.

PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, M Saravanan diarah menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu mulai hari ini, selepas menjadi kontak rapat kepada individu yang disahkan positif Covid-19.

Saravanan ketika dihubungi hari ini berkata, beliau menemui pegawai kanan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang disahkan positif Covid-19 semalam.

Berikutan itu, beliau menjalani ujian swab Covid-19 semalam yang didapati negatif dan membuat calitan kedua hari ini, tetapi keputusan belum diperolehi.

“Setakat ini baik-baik saja,” katanya ketika ditanya keadaan kesihatannya.

Saravanan berkata, ketika pertemuan itu diadakan, semua SOP termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dipatuhi.

Katanya, beliau akan terus menjalankan tugasan rasmi dan mesyuarat secara dalam talian sepanjang tempoh kuarantin di rumah.

Sementara itu, HRDF dalam kenyataan hari ini mengesahkan seorang kakitangannya positif Covid-19 dan sedang mendapatkan rawatan serta di bawah pemantauan pegawai perubatan.

Susulan itu, semua kakitangan HRDF diarah menjalani ujian swab Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga dan ibu pejabat HRDF ditutup seminggu mulai hari ini untuk kerja sanitasi.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments