Saturday, April 27, 2024
HomeBREAKING NEWSCovid-19 paksa peniaga pinjam daripada Ah Long elak gulung tikar

Covid-19 paksa peniaga pinjam daripada Ah Long elak gulung tikar

Pemilik perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana terpaksa mendapatkan pinjaman daripada Ah Long untuk mengurangkan kesan Covid-19.

PETALING JAYA: Ekonomi merudum kerana Covid-19 memaksa ahli perniagaan mikro mendapatkan pinjaman daripada Ah Long untuk membayar sewa premis dan mengelak daripada gulung tikar.

Golongan peniaga ini tidak ada pilihan kecuali meminjam daripada Ah Long, iaitu peminjam wang haram yang mengenakan faedah harian dan bulanan melampau.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengusulkan kerajaan menubuhkan dana bantuan sewa RM1 bilion untuk membantu perniagaan mikro sehingga keadaan ekonomi pulih dan ancaman Covid-19 berlalu.

“Perniagaan mikro dengan tiga hingga lima kakitangan, seperti pendandan rambut, kedai kopi serta gerai dan restoran, tidak akan dapat bertahan dalam keadaan sekarang,” katanya pada forum dalam talian dengan pelbagai wakil perniagaan.

Charles Santiago

“Mereka yang pergi kepada Ah Long untuk mendapatkan pinjaman hanya akan mengalami masalah lebih teruk,” katanya.

Ah Long menjadi pilihan peniaga dan orang ramai kerana pinjaman diluluskan tanpa sebarang dokumen atau jaminan pihak ketiga. Bagaimanapun, pinjaman itu melibatkan faedah setinggi 20% daripada jumlah pinjaman sebulan.

Mereka yang gagal membayar sering menjadi mangsa ugutan dan keganasan Ah Long, seperti dipukul dan dikurung, manakala rumah disimbah cat.

Santiago berkata, beberapa perniagaan milik keluarga memutuskan untuk menutup perniagaan mereka akhir bulan ini kerana kehabisan simpanan untuk membiayai perniagaan, termasuk membayar sewa.

Mengenai cadangan penubuhan dana bantuan sewa, Santiago berkata, kerajaan dapat membantu perniagaan kecil dengan memberi subsidi 60% daripada sewa mereka pada had RM8,500 hingga Disember 2021 atau maksimum RM48,000.

Katanya, Hong Kong dan Singapura membantu perniagaan kecil dan mikro dengan memberi subsidi sehingga 75% daripada kadar sewa mereka.

Pemilik kedai jahit dan menjual pakaian di Brickfields, Kuala Lumpur, Diccan Lourdes terpaksa mendapatkan pinjaman daripada Ah Long setelah permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada beberapa agensi kerajaan ditolak.

“Saya tidak ada pilihan,” kata Lourdes yang berhutang sewa sebanyak RM32,000 kepada pemilik premis perniagaan.

“Sekarang, simpanan saya sudah habis,” katanya sambil menambah beliau terpaksa memberhentikan dua daripada lima pekerjanya.

Amrahi Buang, presiden Persatuan Farmasi Malaysia, berkata farmasi dibenarkan beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan, tetapi perniagaan merosot antara 30% dan 70%.

“Bagaimana mereka mahu membayar kewangan peribadi mereka (komitmen)?” soalnya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments