Tuesday, March 19, 2024
HomeBREAKING NEWSBiarlah UMNO sokong Anwar, daripada terus dibuli oleh rakan sekutu

Biarlah UMNO sokong Anwar, daripada terus dibuli oleh rakan sekutu

Selepas 10 bulan Perikatan Nasional (PN) memerintah negara sejak kejatuhan kerajaan PH yang lepas, politik negara masih lagi goyah apabila jumlah majoriti yang dimiliki kerajaan hanya dibezakan dengan 3 undi.

Berdasarkan undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021, kerajaan PN hampir tumbang apabila terdapat desas-desus mengatakan segelintir Ahli Parlimen UMNO akan menolak belanjawan tersebut jika permintaan mereka gagal dipersetujui oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Namun, segalanya terjawab apabila tiada satu pun Ahli Parlimen UMNO yang berani menolak, malah tetap menyokong walaupun permintaan mereka tidak ditunaikan sepenuhnya.

Selepas beberapa siri serangan yang dilakukan oleh pihak pembangkang, antaranya mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen dan usaha Anwar Ibrahim mempersembahkan akuan bersumpah (SD) yang dimilikinya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober, pemerintahan yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi gagal ditumbangkan oleh kerana pendirian UMNO yang tidak jelas.

Meskipun, terdapat beberapa nama disebut menyokong Anwar, antaranya ialah Zahid Hamidi dan Najib Razak, namun sehingga ke hari ini tiada apa-apa yang berlaku.

Saya berpendapat bahawa UMNO berada dalam dilema iaitu sama ada ingin terus menyokong pemerintahan Muhyiddin ataupun membentuk gabungan politik baru bersama PKR, DAP dan Amanah.

Hal ini tercetus apabila beberapa veteran UMNO, antaranya ialah Puad Zarkashi, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Shahrir Samad, menyeru Ahli-ahli Parlimen parti itu menarik sokongan mereka dari terus menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Hal ini demikian kerana, bagi mereka, UMNO telah dibuli dengan teruk dan ketidakadilan berlaku apabila Ahli Parlimen UMNO hanya menjawat jawatan portfolio yang tidak penting dalam Jemaah Menteri, meskipun mempunyai Ahli Parlimen yang terbesar dalam kerajaan PN.

Contohya, lihat bagaimana PRN Sabah yang menyaksikan penenggelaman BN sehingga mengakibatkan jawatan ketua menteri diserahkan kepada parti pimpinan Muhyiddin Yassin walaupun mereka menang kerusi terbanyak.

Adakah UMNO sedar bahawa mereka bukan lagi kuasa besar dalam politik tanah air? Berdasarkan perjanjian yang dimeterai antara parti-parti dalam Perikatan Nasional, UMNO terpaksa melepaskan Sabah, Sarawak, Kedah, Terrengganu, dan Kelantan kepada PPBM, GPS, dan PAS.

Sedarkah UMNO bahawa mereka mungkin terpaksa melepaskan beberapa negeri lagi misalnya di Johor, Perak, dan Melaka jika terus berada dalam PN pada PRU-15 akan datang?

Sedarkah bahawa UMNO terpaksa melepaskan kerusi yang dimenangi kepada wakil rakyatnya yang telah berpaling tadah ke PPBM? Ini ditambah lagi dengan “sahabat sejati” mereka iaitu PAS yang seolah-olah berpihak kepada Muhyiddin dan seakan-akan sudah lupa piagam yang dipersetujuinya bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Adalah amat tidak wajar apabila jawatan timbalan perdana menteri tidak diserahkan kepada UMNO dengan alasan Presiden Zahid Hamidi mempunyai kes di mahkamah.

Persoalannya, undang-undang mana yang menyatakan seseorang itu tidak layak menjawat jawatan timbalan perdana menteri kerana mempunyai kes yang masih berjalan walaupun belum dinyatakan bersalah atau tidak?

Adakah Muhyiddin ingin menjadi diktator ataupun ingin menonjolkan imej bersih beliau kepada rakyat?

Ataupun mungkinkah benar desas-desus bahawa beliau mahukan Azmin Ali menjadi pengganti beliau pada masa akan datang?

Bagi saya, saranan pemimpin veteran UMNO tersebut perlu disegerakan walaupun ditentang oleh segelintir ahli Parlimen UMNO yang telah mendapat habuan jawatan dalam kabinet dan GLC.

Menteri Sains, Inovasi, dan Teknologi, Khairy Jamaluddin mengatakan tiada siapa yang layak menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri, baik dalam UMNO mahupun pembangkang. Beliau juga menyarankan Muhyiddin terus mengetuai kerajaan pada PRU-15 akan datang. Persoalannya, adakah wajar pemimpin dalam UMNO sendiri mengeluarkan kenyataan sebegini rupa?

Dalam pada itu, terdapat juga beberapa pemimpin yang menyatakan bahawa UMNO rela hilang kuasa daripada bekejasama dengan DAP. Hal ini demikian kerana, mereka merasakan bahawa orang Melayu akan menolak UMNO jika menjalinkan hubungan dengan DAP kerana telah mengorbankan dasar perjuangan parti itu iaitu ABATA (Agama, Bangsa,Tanah, Air).

Kini, slogan “No Anwar, No DAP” digunakan bagi memastikan tiada sebarang kerjasama dapat dilakukan.

Secara peribadi, saya merasakan bahawa UMNO akan mengalami kerugian yang sangat besar jika terus menyokong kerajaan sedia ada. Hal ini berlaku kerana, mereka tidak mungkin lagi berkuasa seperti dulu akibat dibayangi oleh PPBM pimpinan Muhyiddin. Pada waktu yang sama, secara sedar atau tidak, UMNO bakal hilang satu persatu pemimpin mereka yang sedang menjalani perbicaraan di mahkamah.

Saya yakin bahawa ini merupakan masa yang tepat untuk menjatuhkan Muhyiddin dan seterusnya menamatkan penguasaan parti pimpinan beliau di peringkat persekutuan dan negeri. Buat masa ini, keputusan yang paling tepat ialah untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri di samping merangka strategi baru bagi menghadapi PRU-15 kelak.

Dengan menyokong Anwar sebagai perdana menteri ke-9, ia bukanlah satu langkah ke belakang, namun merupakan strategi yang mampu memastikan UMNO kekal menjadi parti Melayu utama di negara ini tanpa perlu mengikut telunjuk PAS dan PPBM.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments