Saturday, April 20, 2024
HomeBREAKING NEWS217 ditahan ingkar PKP, kesalahan tak pakai pelitup muka tertinggi

217 ditahan ingkar PKP, kesalahan tak pakai pelitup muka tertinggi

Seramai 99 orang ditahan semalam kerana tidak memakai pelitup muka.

PETALING JAYA: Polis menahan 217 individu atas kesalahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam, dengan 99 daripadanya tidak memakai pelitup muka, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), tidak mengamalkan penjarakan fizikal (31), aktiviti pusat hiburan (17) dan kesalahan lain (10).

“Daripada jumlah itu, 210 individu dikompaun, manakala 7 individu pula direman,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, pihak berkuasa turut menahan 67 pendatang asing tanpa izin, 2 tekong dan merampas 4 kenderaan serta 8 bot atau kapal menerusi 121 sekatan jalan semalam.

Katanya, seramai 85,383 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam dan ditempatkan di 77 hotel serta 19 institut latihan awam serta institut pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

“Daripada jumlah itu, seramai 12,626 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 542 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 72,215 individu dibenarkan pulang.”

Katanya, semua individu itu pulang dari 36 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste dan Taiwan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments