Sunday, September 22, 2024
HomeBREAKING NEWSYakin “lubuk rezeki”, dua sahabat nekad ceburi pembuatan tembaga

Yakin “lubuk rezeki”, dua sahabat nekad ceburi pembuatan tembaga

Dua sahabat yang ingin mengangkat tembaga sebagai warisan berharga Terengganu ke persada dunia. (Gambar Bernama)

Walau tahu proses pembuatan yang rumit, persekitaran kerja pula dipenuh debu dan sering terkena tempias bahang api panas membara namun, dua sahabat ini tidak peduli dan sanggup bergelumang dengan keadaan itu. Ini kerana mereka yakin pembuatan tembaga adalah ‘lubuk rezeki’.

Shaiful Sani Zakaria, 36, dan Azuan Aziz, 33, adalah pemilik bersama SA Unique Craft, iaitu syarikat pembuat tembaga yang beroperasi di pusat inkubator Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu dekat Chendering di sini sejak enam tahun lepas.

Shaiful Sani berkata meskipun proses pembuatannya mengambil masa yang lama, beliau berpuas hati dapat melihat sendiri kilauan emas tembaga selepas sesuatu produk siap dan detik itu bagaikan terapi untuk dirinya.

“Saya memang berminat dengan kraftangan sejak remaja lagi kerana sukakan seni warisan. Peluang mengikuti kursus pembuatan tembaga di Kraftangan menguatkan lagi semangat saya untuk menceburkan diri dalam bidang ini kerana permintaan sangat tinggi dan mampu memberi pulangan lumayan.

“Kami juga bertuah kerana dapat menggunakan kemudahan peralatan yang canggih di pusat inkubator Kraftangan ini kerana ia dapat menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti berbanding menggunakan kaedah tradisional,” katanya.

Ketika ini, terdapat lima syarikat pengeluar tembaga di Terengganu dan SA Unique Craft adalah syarikat milik usahawan yang paling muda.

Proses pembuatan tembaga bermula dengan reka bentuk, acuan blok, pemanasan lilin, melebur tembaga, proses tuangan, memecahkan acuan dan kemasan terakhir iaitu melarik, memelas dan menggilap.

Shaiful Sani berkata permintaan tembaga semakin meningkat sejak akhir-akhir ini berikutan kesedaran ramai terhadap keistimewaan tembaga kerana ia adalah warisan bernilai tinggi yang boleh digunakan beratus tahun dan diwariskan kepada anak cucu.

“Selain itu, ada juga pelanggan yang membuat tempahan tembaga kerana tertarik dengan penggunaan periuk tembaga oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam media sosial Seri Paduka.

“Tembaga juga adalah konduktor haba yang sangat berkesan, jadi ramai pelanggan suka sebab masakan akan panas dalam tempoh yang lebih lama berbanding penggunaan material lain di dapur,” ujarnya.

Secara purata, syarikat milik dua sahabat itu mampu menghasilkan 100 periuk tembaga sebulan termasuk peralatan tradisional yang ditempah oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan untuk kegunaan pihak istana.

Bagi Azuan pula, mereka bertuah kerana sentiasa mendapat bimbingan daripada pihak Kraftangan yang membantu dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembelian barangan mentah serta inovasi terbaharu tembaga.

“Malah, kami turut memasarkan produk tembaga ini melalui platform dalam talian yang disediakan Kraftangan iaitu e-kraf bazar dan My Craft Shoppe yang 60 peratus daripada hasil jualan adalah melalui platform ini.

“Perancangan kami ialah untuk memperkasakan lagi pemasaran dalam talian kerana segmen pasaran masih luas dan banyak yang perlu diteroka untuk mengangkat martabat tembaga sebagai warisan berharga Terengganu di persada dunia,” jelasnya lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments