Sunday, September 22, 2024
HomeBREAKING NEWSWarisan akan jadi parti nasional

Warisan akan jadi parti nasional

Presiden Warisan Shafie Apdal mengumumkan parti itu sebulat suara memutuskan untuk melebarkan sayap ke Malaysia Barat. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Warisan yang berpangkalan di Sabah sebulat suara memutuskan untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung, kata pemimpin parti itu Shafie Apdal.

Parti itu akan bermula dengan Johor dan Selangor, yang mana terdapat ramai rakyat Sabah, untuk memulakan bahagian dan cawangannya, katanya.

Warisan akan berkhidmat untuk rakyat di Semenanjung, terutama 300,000 rakyat Sabah yang bekerja dan tinggal di Malaysia Barat. “Tetapi kami tidak akan ke semua kawasan di sana, hanya di mana terdapat ramai rakyat Sabah,” katanya.

Warisan ditubuhkan oleh Shafie pada Oktober 2016, beberapa bulan selepas beliau meninggalkan Umno, meletakkan jawatan sebagai naib presiden susulan pertikaian mengenai kepimpinan Najib Razak sebagai pemimpin parti dan perdana menteri berhubung kontroversi 1Malaysia Development Berhad.

Shaife berkata, perlembagaan Warisan tidak menghalang parti itu untuk ke peringkat nasional, dan tidak perlu mengubah nama atau simbol parti.

“Sekiranya parti dari Semenanjung dapat menjejakkan kaki ke sini, mengapa Warisan tidak boleh melakukannya di Semenanjung ?,” katanya pada perhimpunan agung tahunan parti itu. “Tiada yang luar biasa mengenainya.” Katanya, PBS sebelum ini ditubuhkan di Pulau Pinang dan Upko di Perak.

Ditanya jika rakan pembangkang membantah keputusan itu, Shafie berkata sebaliknya berlaku. “Mereka sebenarnya bertanya, sebelum ini, mengapa Warisan tidak diperluaskan ke Semenanjung,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr berkata, parti itu menimbang untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung dan yakin mesej “Perpaduan” yang dibawa akan memperoleh sokongan besar di situ.

“Kita yakin dengan apa yang kita cakap dan pegang selama ini, iaitu perpaduan, biar Sabah menunjukkan jalan,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments