Saturday, October 5, 2024
HomeBREAKING NEWSWarga Nigeria, Encik Innocent, mengaku tipu pengurus syarikat RM300,000

Warga Nigeria, Encik Innocent, mengaku tipu pengurus syarikat RM300,000

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Nigeria mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang pengurus syarikat hartanah membabitkan pelaburan projek pembekalan produk marin berjumlah lebih RM300,000.

Innocent Uchechukwu Christian, 27, mengaku menipu seorang wanita berusia 52 tahun dengan memperdayanya untuk melabur dalam projek pembekalan produk marin, menyebabkan mangsa memindahkan wang ke dalam 11 akaun berbeza berjumlah RM339,610.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Ipoh di sini.

Bernama melaporkan Innocent didakwa melakukan kesalahan itu bersama tunangnya, M Suvitha, 38. Suvitha bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Hasbullah Adam menetapkan 31 Dis untuk menjatuhkan hukuman dan pendengaran fakta kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin untuk Suvitha.

Bagaimanapun, peguam bela M Tharuma Ratnam yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya kini mengandung tujuh bulan dan perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital.

“Jika gagal membayar (jaminan) anak guam saya terpaksa ditahan di penjara dalam keadaan mengandung, sedangkan dia juga mempunyai seorang lagi anak berusia tujuh tahun,” katanya.

Hasbullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 Jan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments