KUALA LUMPUR: Akibat menipu pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menggunakan kad pengenalan milik orang lain bagi mendapatkan rawatan di hospital itu selama tujuh tahun, seorang ibu tunggal warga Uzbekistan dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Perbuatan tertuduh, Arslanova Oksana Leonidovna, 39, terbongkar ketika dia menyamar sebagai penama Kerinjeet Kaur Tharam Singh, 48, dan mengemukakan salinan kad pengenalan atas nama sama bagi tujuan mendapatkan rawatan di hospital itu, pada pukul 10 pagi, 31 Dis lepas.
Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan dalam Bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah.
Arslanova Oksana dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan juga denda.
Wanita itu turut dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan, memasuki negara ini tanpa pas yang sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Jalan Dang Wangi, di sini pada 2.30 petang, 4 Jan lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000.00 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman penjara itu secara serentak berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 31 Dis tahun lepas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh kerana telah menggunakan kad pengenalan milik orang lain bagi mendapatkan rawatan selama tujuh tahun di HKL.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia ibu tunggal kepada empat orang anak manakala suaminya telah meninggal dunia.