GEORGE TOWN: Seorang wanita membuat laporan polis mendakwa ditipu oleh pemaju, apabila rumah yang dibelinya dilelong selepas pemaju gagal melunaskan pinjaman kepada bank.
Jayainthy Subramaniam, 47, berkata Lunas Garden Sdn Bhd gagal membayar sejumlah wang penebusan kepada RHB Bank untuk harta itu dipindahkan kepadanya, sehingga menyebabkan dia kehilangan rumah di Lunas pada 9 Dis.
“Saya buat laporan ini kerana jelas pemaju menipu saya,” katanya kepada FMT. Laporan itu dibuat di balai polis Hi-Tech Park, Kulim.
Jayainthy membuat laporan polis selepas diminta berbuat demikian oleh Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA).
HBA kini tidak menggalakkan pembelian hartanah secara tunai bagi mengelak masalah penipuan, berdasarkan kes Jayainthy.
Rumah satu tingkatnya di Lunas, Kedah, dilelong oleh bank kerana, katanya, bayaran berperingkat yang dibuatnya kepada pemaju, Lunas Garden Sdn Bhd, tidak pernah sampai kepada bank.
Dia membayar hartanah itu secara tunai, melalui bayaran berperingkat selama tiga tahun sebelum projek itu selesai. Wanita itu membayar RM78,850 untuk unit itu.
Ketika menuntut harta itu, katanya, bank memintanya membayar wang penebusan, faedah tertunggak dan caj lain kira-kira RM100,000 selepas menunjukkan bukti dalam bentuk resit semua bayaran dibuat kepada pemaju terbabit.
Pada 9 Dis, RHB Bank melelong unit tersebut. Bank itu sebelumnya memberitahu FMT bahawa pihaknya tidak dapat membantu kerana Jayainthy bukan pelanggan mereka dan tidak mengetahui perjanjian Jayainthy yang ditandatangani dengan Lunas Garden Sdn Bhd.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, masalah Jayainthy dapat dielakkan sekiranya bank melakukan amalan proses sewajarnya, dengan meminta pemaju perumahan mengambil pinjaman dengan mereka, sekiranya ada pembeli tunai.
Ketua Biro Pengaduan CAP, Ravinder Singh berkata, walaupun bank tidak tahu mengenai perjanjian pembelian hartanah itu, pembeli juga tidak tahu mengenai perjanjian pembiayaan penyambung.
“Oleh itu, proses sewajarnya adalah penting,” katanya.
Sementara itu, peguam Thayalan Subramaniam, yang menguruskan urusan hartanah berkata, ada peruntukan undang-undang bagi Jayainthy menyaman peguam yang melaksanakan perjanjian jual beli.
Katanya, peguam seharusnya melakukan usaha yang wajar dalam memastikan harta tersebut diserahkan kepada Jayainthy dan jika gagal melakukannya peguam boleh dikenakan tindakan akibat cuai.
FMT menghubungi salah seorang pengarah Lunas Garden untuk memberikan komen namun masih belum mendapat respons.