PETALING JAYA: Hati Agnes Padan, seorang aktivis, pilu apabila melangkah masuk ke rumah usang milik Basar Arun, 80, di Batu Mulong di Lawas, Sarawak.
Beliau mendengar berita bahawa bekas anggota Sarawak Border Scout itu – satu-satunya sumber pencarian bagi isteri dan tiga daripada lapan anak mereka, termasuk seorang kurang upaya – kini bergelut untuk hidup semasa penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Beliau terkejut melihat keadaan rumah itu, terutama katil kayu anak kurang upaya Basar yang hanya mampu terbaring.
“Semasa PKP, Basar tidak dapat kerja sambilan, jadi keluarga itu berada dalam situasi yang sangat susah,” kata Agnes.
“Dia sepatutnya mendapat bantuan kebajikan tetapi, malang, dia tidak ada kewarganegaraan walaupun dilahirkan di negara ini dan berkhidmat dengan Border Scouts dari 1963 hingga 1967.”
Katanya, Basar, dari komuniti Lun Bawang, adalah salah seorang bekas anggota Border Scouts yang tidak memiliki kewarganegaraan.
Seperti banyak penduduk pribumi di luar bandar pada zaman itu, Basar dilahirkan di rumah dan tidak pernah mempunyai surat beranak.
Beliau hanya mempunyai kad pengenalan hijau dan kemudian diberikan MyKad merah, yang turut diberikan kepada pemastautin tetap.
Agnes berkata, Basar hanya mempunyai dokumen perkhidmatan dengan Border Scouts dan juga pingat Perkhidmatan Awam serta Borneo Clasp yang diberikan oleh Ratu Elizabeth II.
Ia sangat berharga buat dirinya.
“Kami berharap kerajaan akan mempercepat permohonan kewarganegaraan mereka. Kami terbaca bahawa kes mereka ini sudah dibawa kepada perhatian Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.
“Mereka berkhidmat kepada negara semasa Konfrontasi. Mereka berhak mendapat faedah dan bantuan yang sama seperti anggota tentera lain,” katanya.
Agnes menghasilkan satu klip video pendek temu bualnya bersama Basar, yang merupakan antara 150 penduduk pribumi yang direkrut untuk menjaga sempadan Sarawak di kawasan Limbang.
Dalam video itu, Basar berkata, beliau pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar MyKad merahnya, tetapi ditolak walaupun beliau sudah mengemukakan bukti dokumen perkhidmatan sebagai anggota Border Scout.
“Mereka tidak peduli,” katanya.
Agnes dan beberapa dermawan berusaha untuk menolong keluarga itu dan berjaya mengumpukan lebih RM10,000 wang mereka sendiri untuk memperbaiki rumah dan juga memesan katil hospital untuk anak lelaki Basar, yang cacat susulan kemalangan.
“Tetapi kami harap sebaik sahaja dia dapat MyKad, keluarga itu akan mendapat akses kepada bantuan kebajikan,” katanya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu Basar dan keluarganya, hubungi kami di Whatsapp FMT Helpline @ 0193899839.