Saturday, September 21, 2024
HomeBREAKING NEWSUMNO perlu terbuka, tidak rigid dengan slogan ‘No Anwar No DAP’, kata...

UMNO perlu terbuka, tidak rigid dengan slogan ‘No Anwar No DAP’, kata Puad

Ahli MKT UMNO Puad Zarkashi berkata, slogan ‘No Anwar No DAP’ dilihat tidak relevan sepanjang masa dan harus disesuaikan dengan senario politik yang berubah-ubah.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin UMNO menggesa parti itu tidak perlu terlalu rigid dengan slogan ‘No Anwar No DAP’ yang didakwanya hanya digunakan oleh beberapa pemimpin berjawatan yang tidak mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Puad Zarkashi berkata, slogan itu dilihat tidak relevan sepanjang masa dan harus disesuaikan dengan senario politik yang berubah-ubah.

“Benar, ‘No Anwar No DAP’ adalah keputusan MKT UMNO. Annuar Musa (Ahli Parlimen Ketereh) guna slogan ini untuk pertahan Perikatan Nasional (PN).

“Sebagai ahli MKT, saya pula tidak mahu UMNO terlalu rigid,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengambil contoh kerjasama politik antara DAP-PKR-PAS suatu ketika dahulu sebagai gambaran keadaan politik yang berubah-ubah.

“Dulu, siapa terfikir PAS bergabung dengan DAP. Siapa terfikir Muslimat PAS julang bendera roket semasa PRU dan PRK.

“Siapa terfikir Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin bergabung dengan DAP untuk menjatuhkan UMNO?,” soalnya.

Justeru, beliau menggesa UMNO supaya bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti.

“DAP dan PKR pernah sokong usul tergempar UMNO dalam Parlimen bila membantah serangan Israel di Palestin.

“Tidak dinafikan ada akar umbi UMNO yang keliru. Tetapi mereka juga keliru bila ada pemimpin UMNO yang berunding dengan Mahathir dan Azmin Ali tanpa pengetahuan MKT.

Puad berkata, slogan itu turut diguna pakai oleh PPBM untuk menyerang UMNO.

“Pemimpin PPBM tumpang semangkuk guna slogan “No Anwar No DAP” untuk serang UMNO. Sejujurnya mereka takut dan rasa terancam jika wujud kerjasama itu.”

Beliau berkata, UMNO mesti berani mempelopori kerajaan perpaduan dengan memulakannya di Perak, memandangkan parti itu mempunyai pengalaman luas mentadbir negara dengan suhu perkauman yang sentiasa memuncak.

“Maka apakah dengan pengalaman itu tiba-tiba UMNO rasa takut dan lekeh untuk urus kerjasama dengan sesiapa, hatta DAP. Yang penting kemampuan, kebijaksanaan, ketegasan, konsensus dan kejujuran politik.

“Justeru UMNO Perak wajar diberi peluang bentuk kerajaan perpaduan tanpa perlu gabungan parti politik yang rigid.

“Ia pembuka jalan. UMNO pun bukan ahli PN. MN juga belum daftar,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments