Sunday, September 22, 2024
HomeBREAKING NEWSUlasan mengenai “Wacana Al-Quran: Benarkah Vaksin Solusi Pandemik?”

Ulasan mengenai “Wacana Al-Quran: Benarkah Vaksin Solusi Pandemik?”

Saya ingin menarik perhatian saudara kepada video yang kini liar menular di alam maya.

Ia banyak mengandungi fakta-fakta yang palsu dan pandangan-pandangan yang menyeleweng dan berbahaya.

Saya harap pendengar tidak terpedaya dengan cerita yang tidak berasaskan hujah dan nuansa yang anti-perubatan moden

Kita mesti berhujah dengan “basirah” (pandangan yang sungguh-sungguh dengan mata hati) seperti peringatan ayat Al-Quran dalam surah Yusuf ayat 108:

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain’.”

Saya akan senaraikan perkara-perkara pelik yang ditimbulkan:

1. Beliau mencabar bahawa kita takut kepada virus korona lebih daripada kita takut kepada Allah. Apakah beliau memiliki ilmu mistik dan boleh menilai tahap iman dihati kita?

2. Bahawa kepercayaan kita bahawa Covid-19 yang membunuh manusia adalah salah tetapi Allah yang menentukan hidup atau matinya seseorang. Sekali lagi anda meragui akidah kita tentang nama-nama Allah (asma ul husna): Al-Muhyii (Maha Menghidupkan) dan Al-Mumiit (Maha Mematikan).

Anda sungguh cepat dan mudah menghukum. Anda harus ingat bahawa kita di dunia ini adalah sebagai pendakwah bukan penghukum.

3. Anda mengatakan bahawa virus korona ini adalah makhluk yang lemah. Ini pada pendapat kami adalah bertentangan dengan fakta. Virus korona ini telah menjangkiti 82,000 ribu orang dan mengakibatkan 411 kematian di Malaysia.

Di dunia pula 71 juta kes dan 1.6 juta kematian. Setiap kematian adalah tragedi. Oleh sebab itu, setiap usaha untuk memelihara nyawa manusia adalah suatu keutamaan dalam maqasid syariah. Ini bersandarkan firman Allah dalam surah Al-Maa’idah ayat 32:

“Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”

4. Ia merupakan suatu sunatullah, di mana Allah menghantar makhluk kecil yang boleh menyebabkan penyakit, kematian, dan kesengsaraan ke atas manusia.

5. Sebagai manusia, kita jangan rasa takbur dan bongkak. Allah menghantar nyamuk yang kecil untuk mencabar Namrud dan menghantar katak dan belalang untuk mengingatkan Firaun supaya tidak sombong, seperti termaktub dalam surah Al-Baqarah ayat 26:

“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula mereka akan berkata: ‘Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?’.

“(Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik.”

6. Allah dan rasul menggalak kita untuk mencari ilmu dan membuat kajian untuk mencari penawar kepada semua jenis penyakit:

“Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.” (Riwayat Al-Bukhari)

7. Nampaknya saudara agak keliru tentang konsep pengubatan dan pencegahan. Sebaik-baik tradisi dalam perubatan alopati ialah pencegahan. Maka terdapat suatu amalan yang agung dalam perubatan alopati iaitu “pencegahan lebih baik daripada pengubatan”.

Ini berasaskan kepada suatu kaedah fiqah, “sadd as-dzaraie” (menutup pintu kerosakan).

8. Kajian manusia dalam ilmu imunologi telah menghasilkan beberapa vaksin yang boleh mencegah seseorang daripada mendapat penyakit Covid-19. Ini sudah tentu suatu penemuan “syifa’” (penawar) yang amat baik dan bakal memberikan imuniti kelompok kepada manusia dan menghentikan penularan pandemik dengan izin Allah.

9. Bukankah ini mesej yang tersirat dalam enam ayat-ayat “syifa’” yang terdapat dalam Al-Quran. Contohnya doa Nabi Ibrahim dalam surah Asy-Syu’araa’ ayat 80:

“Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku”.

10. Anda memperkecilkan ikhtiar manusia untuk mengatasi pandemik dengan ilmu vaksinologi. Sungguh, manusia mudah lupa. Pada kurun ke-20, cacar telah membunuh 200 juta manusia. Tetapt dengan vaksin cacar, “small pox” dibasmikan.

Dengan kejayaan ini vaksin cacar dihentikan penggunaannya pada 1980. Insya-Allah jika kita guna vaksin dengan baik dan sempurna, kita berpotensi membasmikan penyakit lain seperti polio, campak, dan rubella.

11. Anda hanya mencadangkan memakan “makanan sunnah”, tetapi anda tidak menunjukkan kajian, fakta, dan data bahawa ia boleh mencegah mahupun merawat penyakit Covid-19. Bahkan ramai pengamal perubatan alternatif membuat tuntutan bahwa ia boleh merawat bermacam-macam jenis penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, HIV, dan lain-lain.

Ini semua tidak bersandarkan “ala basiratin” (dalil yang nyata) tetapi hanya andaian, cerita-cerita, dongeng purba, anekdot, dan ada yang tersenarai sebagai pembohongan. Anda juga harus maklum bahawa banyak daripada hadis yang diriwayatkan mengenai “makanan sunnah” adalah hadis yang dhaif yakni lemah dan ada yang palsu belaka.

12. Maka falsafah anda untuk menolak vaksin dan kaedah perubatan alopati adalah amat dangkal dan mempunyai ciri-ciri fatalistik. Amat tidak bertanggungjawab apabila anda berkata “sama saja makan ubat tak makan ubat, kalau Allah tak sembuh ‘means’ tak sembuh”.

Ini adalah suatu jenayah agama dan akademik yang tidak sepatut diucap oleh seorang pemegang PHD.

13. Nabi tidak hanya “beruzlah” (pengasingan diri) dan berdoa kepada Allah semata-mata. Nabi keluar berdakwah, berperang, menggali parit “khandaq”, memakai pakaian perang, namun demikian tercedera juga dalam perang.

14. Konsep yang saudara utarakan mengenai ibadah dan doa amat sempit dan tidak “syamil” (merangkum) dan holistik. Mencari ilmu, membuat kajian, menghasilkan vaksin semuanya adalah ibadah untuk mencari “mardhatillah” (keredhaan Allah) dalam konteks mencari manfaat dan kebaikan (maslahah) dan menghalang kemudaratan (mafsadah).

15. Idea-idea yang anda lontarkan agak simplistik, ambil mudah, tidak mendalam, dan tidak mahir dalam perbincangan mengenai Covid-19 dan solusi pandemik ini. Mengenai perkara ini, Allah memperingatkan kita dalam surah An-Nahl ayat 43:

“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

16. Dalam bab perubatan, fuqaha Islam telah merujuk kepada pakar-pakar perubatan alopati Islam untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sesuatu subjek sebelum mengeluarkan fatwa.

17. Contohnya pada 1995, lebih daripada 100 fuqaha bermuzakarah dengan pakar-pakar perubatan alopati Islam di Kuwait yang dianjurkan oleh Islamic Organisation of Medical Sciences (IOMS), sebelum mengeluarkan fatwa mengenai konsep “istihalah” (biotransformasi) dalam konteks pengunaan bahan yang tidak suci dalam makanan dan ubatan.

Jika ulama tersohor global merujuk kepada pakar-pakar perubatan alopati, kita harus lebih rendah diri dan insaf akan keterbatasan ilmu kita dalam menangani pandemik yang rumit dan kompleks seperti Covid-19.

18. Akhir kata, kita harus insaf dengan kecaman Allah mengenai mereka yang berbincang mengenai sesuatu tanpa berasaskan bukti dan ilmu yang nyata seperti terdapat dalam surah Israa’ ayat 36:

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Wallahualam.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments