PETALING JAYA: Kerajaan UK mengesahkan vaksin Pfizer-BioNtech COVID-19 tidak mengandungi komponen berasal daripada haiwan.
Dalam ramuan yang diterbitkan di laman rasmi kerajaan UK, maklumat yang disediakan oleh Agensi Pengawalseliaan bagi ubat-ubatan dan produk penjagaan kesihatan itu menunjukkan tiada sebarang bahan yang berasal daripada haiwan.
Ketika ini, penerima yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi, seperti pesakit berusia 80 tahun ke atas yang sedang dirawat di hospital, kakitangan kesihatan barisan depan, dan petugas di rumah kebajikan, sedang dipilih untuk vaksin tersebut, yang mendapat kebenaran penggunaan darurat pada awal Disember.
Vaksin itu, yang menggunakan teknologi mRNA perintis yang belum pernah digunakan dalam vaksin, menyuntik maklumat yang diperlukan tubuh penerima untuk menghasilkan semula protein jenis “spike” seperti yang ditemui pada permukaan virus penyebab COVID-19, mencetuskan gerak balas imun dan penghasilan antibodi.
Setakat ini, Malaysia telah membuat perjanjian untuk memvaksinasi 40% penduduk secara percuma, dengan 20% daripada Pfizer-BioNtech.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan mula memberikan vaksin Pfizer-BioNtech seawal Februari, dan bagi meyakinkan orang ramai bahawa vaksin tersebut selamat, beliau antara penerima pertama vaksin itu.
Status halal vaksin itu menjadi persoalan dalam kalangan orang ramai sebelum ini.