Wednesday, November 13, 2024
HomeBREAKING NEWSTulisan kuno Mangolia ‘hidup’ semula

Tulisan kuno Mangolia ‘hidup’ semula

Penulisan Hudum menggunakan bahasa lama yang sukar difahami golongan moden namun kini dihidupkan semula. (Gambar Pixabay Jacqueline Macou)

Dalam sebuah bilik darjah di ibu negara Mongolia, pelajar menolak tepi huruf Cyril era pemerintahan Soviet dan menyengetkan buku latihan untuk mempelajari tulisan menegak tradisional yang digunakan ketika zaman empayar Genghis Khan.

Batbileg Lkhagvabaatar, seorang guru yang mengajar di kelas itu melakarkan garisan setiap aksara huruf-huruf yang bersambung dan bertitik pada papan putih sambil menerangkan hukum tatabahasanya kepada kumpulan pemuda pemudi serta kanak-kanak di hadapannya.

Mereka adalah antara golongan yang semakin bersemangat mempelajari tulisan kuno berkenaan susulan bantahan oleh saudara mereka di rantau Inner Mongolia, China, yang tidak bersetuju bahasa perantaraan Mongolia digantikan dengan Mandarin untuk pembelajaran teras.

“Saya amat kecewa apabila mengetahui apa yang berlaku di Inner Mongolia. Saya turut terkesan dengannya dan saya akan menggalakkan orang lain supaya turut mempelajari tulisan tradisional kami,” kata Togtokhjargal Battogtokh, 46, salah seorang pelajar di bilik darjah di Ulaanbaatar itu.

Pengkritik dasar bahasa Beijing di Inner Mongolia (tempat ini dihuni kira-kira 4.5 juta etnik Mongolia) mendakwa ia mencerminkan usaha di wilayah persempadanan lain seperti Xinjiang serta Tibet untuk menyerapkan golongan minoriti tempatan ke dalam kebudayaan Han yang dominan.

Ini mencetuskan kemarahan di Mongolia, yang ekonominya bergantung dengan eksport mineral kepada jiran kuasa besar di selatannya itu.

Manakala, Javkhlan Samand, penyanyi lagu rakyat paling popular Mongolia, menggelar konsert terbaharunya “Stay Mongolian” (kekal Mongolia) sebagai tribut kepada golongan yang memprotes di seberang sempadan di China.

Malah, ketika menteri luar China, Wang Yi tiba untuk lawatan pada September lalu, ratusan pembantah berpakaian etnik Mongolia tradisional berhimpun di dataran utama Ulaanbaatar.

“Mari kita lindungi bahasa ibunda. Mari lindungi saudara sedarah kita.” laung mereka.

Batbileg mula mengajar penulisan itu yang dikenali sebagai Hudum secara percuma pada September lalu selepas melihat liputan bantahan berkenaan.

“Kita hidup dalam era globalisasi yang pantas berubah. Orang ramai tiada masa untuk duduk memikirkan isu identiti mereka.

“Namun, kini saya lihat ramai di kalangan pelajar semakin memikirkan nilai kebangsaan kita. Mereka mahu mempromosikan tulisan Mongolia yang digunakan bangsa kami selama ribuan tahun,” katanya.

Kerajaan Mongolia mula mengguna pakai tulisan Cyril lapan dekad lalu ketika pemerintahan rejim yang didominasi oleh Soviet. Namun, kini kerajaan turut menyokong penghidupan semula skrip kuno yang sebelum ini hanya diketahui golongan tua atau pakar bahasa.

Media penyiaran kini turut menyertakan kapsyen menggunakan kedua-dua tulisan, dan kerajaan berkata semua pengumuman rasmi akan ditulis dalam Cyril serta Hudum bermula 2025.

Malah, Presiden Battulga Khaltmaa yang juga bekas juara gusti sambo melancarkan kelas Hudum sendiri di televisyen untuk menggalakkan rakyatnya mempelajari tulisan tradisional itu.

“Orang Mongolia di negara ini sendiri yang mengabaikan bahasa tradisi. Golongan ‘inner Mongolia’ yang menyedarkan kami bagaimana bahasa dan tulisan asal amat berharga dan kini, kami mesti melindunginya,” kata Zayabaatar Dalai, ketua Pengajian Mongol di Universiti Kebangsaan Mongolia.

Namun, banyak cabaran menanti, kerana kebanyakan tulisan itu menggunakan bahasa lama yang sudah tidak diamalkan golongan moden, selain perubahan pada tatabahasa disebabkan penggunaan abjad Cyril.

Tulisan Hudum tidak membezakan jantina, berbeza daripada tatabahasa Cyril, manakala perkataan dan kata depan ditulis secara berasingan berbanding Cyril yang menggabungkannya.

Pelajar sekolah buat masa ini cuma perlu mempelajari tulisan Mongol selama setahun, namun mengikut pelan kerajaan baharu, buku teks bagi mata pelajaran seperti sejarah dan kesusasteraan juga mesti dialihkan ke tulisan tradisional itu.

Gelombang populariti terbaharu ini turut membawa kemodenan untuk Hudum. Golongan aktivis pula berharap bahasa ini boleh digunakan di komputer serta media sosial dengan lebih mudah, seterusnya membantu menghubungkan golongan etnik Mongolia di sekitar Russia, China dan Mongolia.

Pembangun teknologi Mongolia kini berusaha merangkumkan tulisan menegak itu ke dalam aplikasi baru, penterjemahan bahasa serta platform media sosial.

Syarikat perisian berpangkalan di Ulaanbaatar, Bolorsoft LLC memberitahu AFP ia sedang menghasilkan program untuk mengubah fail ucapan audio kepada tulisan Mongolia.

Seorang lagi pengatur cara, Ulzii-Orshikh Dashkhuu berkata, beliau sedang mewujudkan platform terbuka media sosial ala Facebook yang membolehkan pengguna belajar dan memuat turun skrip menegak berkenaan.

“Hari ini, kita berkomunikasi di domain digital. Jika boleh alihkan tulisan menegak ini ke platform digital dan kita akan mengekalkan bahasa tradisional untuk generasi akan datang.” katanya..

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments