KOTA KINABALU: Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, Warisan perlu membuat perubahan dalam kepimpinan parti itu atau berdepan kegagalan pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Katanya, kegagalan itu terbukti pada pilihan raya negeri (PRN) lalu apabila kerajaan Warisan Plus ditolak oleh rakyat Sabah kerana silap percaturan serta keegoan pemimpinnya.
“Perubahan perlu dilakukan secara menyeluruh ke atas kepemimpinan yang ketika ini tidak menyatukan dan tiada arah.
“Saya tidak mahu merujuk kepada seseorang, tetapi sudah tiba masanya untuk perubahan dalam kepemimpinan pembangkang di Sabah.
“Ia sesuatu yang disuarakan oleh banyak parti komponen sebelumnya.
“Saya membayangkan pembangkang Sabah akan gagal pada pilihan raya akan datang jika masih diketuai kepemimpinan sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Razeef berkata, Warisan Plus sebelum ini cuba menyatukan rakyat Sabah, tetapi gagal walaupun pelbagai cara dilakukan.
“Ia tidak ke mana kerana tiada arah yang jelas daripada pemimpin mereka, selain menaikkan papan iklan yang tertera wajah pemimpin tertentu dengan ayat-ayat manis yang tidak menjanjikan apa-apa.
“Saya telah nyatakan bahawa penyatuan tanpa mengira kaum dan agama itu perlu dicontohi melalui sejarah penubuhan PKR, bukan hanya melalui ceramah dengan menabur ayat-ayat manis.
“Kita boleh lihat bagaimana PKR berjaya menjadi parti kerajaan paling besar pada 2018. Ini kerana PKR membawa maksud Malaysia sebenar dengan kepelbagaian kaum dan agama,” katanya.
Walaupun tidak menyebut nama pemimpin yang dimaksudkannya, Razeef dipercayai merujuk kepada presiden Warisan dan bekas ketua menteri, Shafie Apdal.
Beliau berkata, pemimpin Warisan juga perlu mencari titik persamaan memandangkan tiga parti komponen dalam gabungan Warisan Plus merupakan parti nasional.
Katanya, selepas berjaya menubuhkan kerajaan di Sabah pada PRU lalu, beberapa pemimpin Warisan Plus dilihat lari dari hala tuju asal serta memungkiri janji kepada rakyat.
“Malah beberapa pemimpin dilihat tidak berani menyuarakan permasalahan ini sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat yang berkesudahan dengan penolakan rakyat hanya selepas 28 bulan mentadbir.
“Jika rombakan kepimpinan yang berada di takuk lama tidak dilakukan, keputusan sama akan diperolehi oleh Warisan Plus.
“Sekiranya pembangkang tidak membuat perubahan untuk bersatu dan tidak merancang masa depannya, selain tidak berani membuat perubahan, maka rakyat tidak akan memilih Warisan Plus pada pilihan raya yang akan datang,” katanya.