Tuesday, November 5, 2024
HomeBREAKING NEWSTujuh kanak-kanak disorok hantu air

Tujuh kanak-kanak disorok hantu air

Kanak-kanak yang berumur antara 10 hingga 12 tahun itu bermain-main di tepi tasik bekas lombong itu. (Gambar Rawpixel)

PETALING JAYA: Satu demi satu mayat kanak-kanak lelaki itu timbul dan sehingga habis ketujuh-tujuhnya. Semua dalam keadaan berlumpur dan semacam berdiri tegak di permukaan air bekas lombong itu. Dua yang terakhir dalam keadaan berpelukan.

Sebelumnya, seorang pengamal perubatan tradisional atau bomoh bersembahyang tidak jauh dari pergigian air, kemudian duduk mengadap bekas lombong itu sambil membaca beberapa jampi serapah. Tangannya menepis-nepis kepulan asap kemenyan sebuah dupa bara api.

“Bomoh itu berkata, kesemua budak lelaki itu kena sorok hantu air dalam selut. Sebab tu susah nak jumpa. Tapi harapan mereka masih hidup memang tak ada,” kata Hussain Haji Zakaria, 52, ketika mengimbau kejadian tersebut yang telah berlaku 20 tahun yang lalu.

Katanya, kesemua mayat itu bukan sahaja bengkak dan kembung di sana sini, tetapi tubuh mereka disalut lumpur sepenuhnya.

“Susah nak kenal wajah mereka lagi kerana badan mereka habis berlumpur,” katanya yang menyaksikan sendiri kejadian itu.

Atas sebab tertentu, Hussain bagaimanapun enggan memberitahu nama bomoh yang berjaya mengeluarkan kesemua tujuh mayat kanak-kanak lelaki yang lemas dalam bekas lombong dekat sebuah kampung di sini.

Tragedi ngeri tersebut sampai kini masih diingati seluruh penduduk asal kampung tersebut, termasuk keluarga Hussain.

“Saya terperanjat melihat ketujuh-tujuh mayat budak itu timbul,” katanya.

Menceritakan kejadian itu kembali, Hussain berkata, dia masih ingat apabila melihat kanak-kanak yang berumur antara 10 hingga 12 tahun sedang bermain di tepi tasik bekas lombong itu.

Ketika itu kira-kira jam 5.30 petang dan Hussain dalam perjalanan pulang dari kedai.

“Ketika itu mereka sedang bersiap-siap menaiki sebuah rakit. Bila saya tanya, mereka kata nak pergi memancing dalam bekas lombong itu. Saya rasa tak sedap hati.

“Saya terus larang mereka, saya kata air di situ dalam dan merbahaya. Tapi, tak seorang pun pedulikan kata-kata saya. Saya lihat mereka terus juga naik rakit tersebut. Saya pun terus berjalan balik ke rumah.

“Tak lama selepas itu, seluruh kampung gempar. Sana sini orang menjerit memberitahu ada budak-budak lemas dalam bekas lombong. Saya terus teringatkan tujuh orang kanak-kanak tadi,” katanya.

Kemudian, satu gerakan mencari kanak-kanak itu pun segera dilancarkan dengan bantuan beberapa penyelam profesional dari anggota keselamatan polis dan bomba.

Oleh kerana cuaca sudah gelap, lampu dipasang di sana-sini di merata pergigian air bekas lombong. Namun, setelah tiga jam gerakan mencari dilakukan, hasilnya masih hampa. Kanak-kanak tersebut masih tidak ditemui.

Mereka dipercayai terjatuh dari rakit yang sudah pecah itu. Beberapa kepingan papan rakit kelihatan hanyut di permukaan air, sesetengahnya sampai ke tepi.

“Ketika itulah ada penduduk yang teringatkan seorang bomoh yang tinggal di kampung kami. Dia dikatakan pandai,” kata Hussain.

Menurutnya, apabila bomoh itu datang, dia berdiri tegak mengadap bekas lombong itu. Mulutnya terkumat-kamit seperti membaca sesuatu sambil berjalan beberapa tapak ke tepi tebing sungai, kemudian berpatah balik.

“Dia kemudian membentang sehelai sejadah, lalu bersembahyang. Tak lama kemudian, dia bakat kemenyan dalam dupa bara api. Lepas tu, dia baca sesuatu, macam jampi.

“Tangannya menepis kepulan asap kemenyan, seolah-olah menyuruh asap itu pergi ke arah air bekas lombong.

“Masa itulah, kami lihat satu demi satu mayat kanak-kanak itu timbul, tegak di atas permukaan air. Melihat keadaan mereka sangat menyedihkan, hitam seperti berlumpur.

“Saya sendiri menangis apabila melihat mereka. Dua yang terakhir, dalam keadaan berpelukan. Jenazah kemudian dibawa ke hospital,” kata Hassain lagi

Suasana pilu menyelubungi bekas lombong itu. Esak dan tangis dari keluarga kedengaran.

Sejak kejadian tersebut, kawasan lombong itu ditutup. Kini, bekas lombong itu sudah ditimbus dan dibangunkan menjadi kawasan taman perumahan.

Hussain berkata, apa pun usaha yang dilakukan, semuanya adalah kehendak Allah swt. Dia yang lebih berkuasa, kita sebagai hamba hanya perlu berusaha.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments