Thursday, September 19, 2024
HomeBREAKING NEWS‘Tolonglah’ capai 3 juta tontonan, Cik B ucap terima kasih kepada semua

‘Tolonglah’ capai 3 juta tontonan, Cik B ucap terima kasih kepada semua

Cik B tidak percaya lagu Tolonglah ‘trending’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Cik B atau nama sebenarnya Edlynn Zamilleen Muhammad Amin terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menonton video muzik lagu sulungnya, Tolonglah.

Anak kepada jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida ini gembira dengan pencapaian video sulungnya itu yang telah mencatatkan jumlah tontonan hampir tiga juta dalam masa seminggu selepas dilancarkan.

Malah, dia turut meletakkan sasaran tiga juta tontonan menjelang penghujung hari ini.

“Saya berasa amat gembira dengan pencapaian lagu ini dan seperti tidak percaya lagu ini ‘trending’. Saya menjangkakan lagu ini akan mencecah tiga juta tontonan hari ini,” katanya.

Walaupun lagu Tolonglah bukan dalam genre pilihan ramai pendengar, Cik B mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diterimanya.

Menurutnya lagi, dia tidak pernah meletakkan sasaran untuk ‘trending’ apabila lagu dan video muzik ini dilancarkan kerana dia tahu tidak ramai yang suka genre lagu seperti itu.

“Namun, saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua yang sudah menonton. Juga, kepada mereka yang menulis komen-komen positif,” katanya.

Cik B turut menyentuh mengenai lebih 11,000 tanda tidak suka atau ‘dislike’ yang diberikan pada video muzik Tolonglah.

“Saya sendiri tidak tahu kenapa mereka berikan tanda ‘dislike’. Mereka mungkin tidak tengok lagi tapi dah ‘dislike’. Mungkin juga mereka adalah ‘haters’, jadi, mereka dengki dengan saya. Tak mengapalah, biarlah mereka puaskan hati sendiri dengan cara itu,” katanya.

Video muzik Tolonglah berkisar mengenai kisah silam Cik B semasa zaman kanak-kanaknya dan menggunakan khidmat pekerja-pekerja ibunya sebagai pelakon. Ia merupakan hasil ciptaan komposer muda Yonnyboii dan lirik ditulis oleh Vida dan Cik B sendiri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments