Thursday, January 9, 2025
HomeBREAKING NEWSSuami isteri ditahan miliki AK-47, mengaku tembak 2 gajah

Suami isteri ditahan miliki AK-47, mengaku tembak 2 gajah

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata kedua-dua suspek ditahan reman bermula 13 hingga 19 Dis ini untuk siasatan lanjut. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Polis menahan suami isteri dan merampas selaras senjata api jenis AK-47 bersama 142 butir peluru dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Kuala Krai, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota pada 3.10 pagi selepas menerima maklumat orang awam.

Katanya, hasil serbuan suami isteri berusia 50 tahun itu ditahan dan hasil pemeriksaan dalam rumah menemui senjata api jenis AK-47 bersama 142 butir peluru iaitu 16 butir peluru 5.56mm dan 126 butir peluru penabur 12 Bore.

“Kedua-dua individu yang ditahan adalah penduduk tempatan di situ. Siasatan awal suspek mengaku memiliki senjata api itu sejak lima tahun lepas yang diberikan oleh seorang lelaki berasal dari Tanah Merah.

“Suspek mendakwa senjata api itu digunakan bagi menembak haiwan liar seperti gajah yang sering memasuki kebun getahnya. Setakat ini, suspek mengaku sudah menembak dua ekor gajah dengan senjata api itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kelantan.

Beliau berkata, pasangan terbabit ditahan kerana kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen atau permit dan kali terakhir menggunakan senjata itu dua tahun lepas.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara, denda dan sebatan.

“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-duanya negatif dadah. Polis juga akan menyiasat lebih lanjut termasuk mengesan lelaki Cina dikenali sebagai ‘Su’ yang memberikan senjata itu serta membekalkan peluru dengan harga RM15 sebutir,” katanya.

Shafien berkata, kedua-dua suspek ditahan reman bermula 13 hingga 19 Dis ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes juga akan dirujuk kepada Jabatan Perhilitan Kelantan berkaitan pengakuan suspek yang menembak gajah.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments