Monday, October 7, 2024
HomeBREAKING NEWSStigma lantikan politik sebagai ‘ganjaran’, raih sokongan sukar diubah, kata penganalisis

Stigma lantikan politik sebagai ‘ganjaran’, raih sokongan sukar diubah, kata penganalisis

Penganalisis berkata, terdapat stigma lantikan politik tidak kira Ahli Parlimen atau orang politik yang bukannya Ahli Parlimen merupakan kaedah memberi ‘ganjaran’ daripada yang melantik kepada yang dilantik.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpandangan mana-mana kerajaan, termasuk Perikatan Nasional (PN) tidak boleh lari daripada persepsi lantikan politik adalah “ganjaran” kepada individu bagi meraih sokongan untuk mengekalkan kuasa.

Azmi Hassan yang juga bekas tenaga pengajar Universiti Teknologi Malaysia berkata, sukar mengubah stigma konon lantikan politik bagi sesuatu jawatan bukan atas dasar meraih kesetiaan menyokong kerajaan memerintah semata-mata, sebaliknya dibuat berdasarkan kelayakan.

Katanya, walaupun penjelasan diberikan lantikan politik bawah PN lebih bersih kerana dilakukan berdasarkan kelayakan, pengalaman dan kepakaran sebagai sebahagian amalan urus tadbir yang baik, ia tetap sukar diterima rakyat, terutama apabila lantikan itu membabitkan Ahli Parlimen.

“Ini kerana terdapat stigma lantikan politik tidak kira Ahli Parlimen atau orang politik bukan Ahli Parlimen, lantikan itu merupakan kaedah memberi ‘ganjaran’ daripada yang melantik kepada yang dilantik.

Azmi Hassan.

“Lazimnya, akan ada individu bukan orang politik lebih berkepakaran jika hendak dibandingkan dengan orang politik dilantik walaupun individu tersebut cukup syarat pengalaman dengan jawatan diberi.

“Lebih rumit apabila yang dilantik adalah Ahli Parlimen dan dalam keadaan kerajaan PN memerlukan sokongan padu Ahli Parlimen yang berada dalam kerajaan, maka sudah pasti akan timbul tohmahan lantikan itu ada kena mengena untuk raih sokongan,” katanya kepada FMT.

Azmi tidak menolak, terdapat organisasi memerlukan kekuatan politik dan dalam hal itu, lantikan politik mungkin boleh diterima terutama bila individu terbabit mempunyai kepakaran dan berkelayakan dengan jawatan disandang.

Beliau tidak bersetuju dakwaan segelintir pihak konon keputusan Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Malaysia berkait rapat isu lantikan politik bagi mendapat kuasa menyebabkan pihak luar tidak yakin dengan kestabilan politik negara.

“Mengenai penarafan Fitch Ratings dua faktor diambil kira iaitu paras hutang berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan ketidakstabilan politik. Jadi, isu lantikan politik tiada kena mengena,” katanya.

Turut senada dengan Azmi, seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Pawi, menyatakan penjelasan kerajaan lantikan politik zaman PN lebih telus berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu meyakinkan rakyat.

“Terlalu ramai lantikan politik dibuat ketika zaman PN. Tambahan pula muka baru lantikan politik ini kurang dikenali rakyat, maka ia menimbulkan keraguan,” katanya.

Awang Azman Pawi.

Azman bagaimanapun berkata, lantikan politik tidak salah kerana tiada undang-undang boleh menghalangnya terutama dalam kalangan Ahli Parlimen untuk memegang jawatan itu.

“Langkah perlu dilakukan kerajaan bagi memastikan lantikan politik boleh diterima dan tidak dijadikan alat kontroversi termasuk bahan kempen pilihan raya akan datang ialah memastikan lantikan itu terdiri daripada mereka yang berprestasi tinggi untuk melonjakkan agensi.

“Misalnya pelantikan Idris Jusoh sebagai pengerusi FELDA baharu, mampu melonjakkan pendapatan dan kurangkan hutang FELDA. Lantikan itu akan mampu meyakinkan rakyat, nampak telus dan bersih,” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika berucap di Dewan Rakyat Isnin lalu memaklumkan, semua lantikan politik dilakukan berdasarkan kelayakan, pengalaman dan kepakaran sebagai sebahagian amalan urus tadbir yang baik.

Katanya, lantikan itu perlu melalui proses saringan oleh agensi seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis.

Pembangkang sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan kerana ia mungkin menjadi kaedah memberi ganjaran kepada ahli politik yang setia.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments