Sunday, September 29, 2024
HomeBREAKING NEWSSPRM dapati tiada salah laku dalam perjanjian tanah dikaitkan pemimpin PPBM

SPRM dapati tiada salah laku dalam perjanjian tanah dikaitkan pemimpin PPBM

Ahmad Faizal Azumu dan Najib Razak berperang mulut berhubung penjualan ladang sawit milik kerajaan Perak.

PETALING JAYA: Bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada salah laku dalam perjanjian tanah membabitkan konsesi 30 tahun sebidang tanah seluas 746 ekar.

Persoalan berhubung tanah di daerah Kinta itu timbul selepas syarikat yang diberikan konsesi itu didakwa dimiliki dua pemimpin PPBM.

Bekas perdana menteri, Najib Razak antara individu yang meminta penjelasan Faizal.

Dalam catatan Facebook, Faizal berkata, SPRM sudah menyiasat dakwaan ke atas pemberian permintaan untuk cadangan (RFP) itu dan mendapati tiada sebarang salah laku.

“Proses pemilihan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pelaburan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang dipengerusikan seorang ahli lembaga pengarah PPPNP yang merupakan penjawat awam kanan, sebelum diluluskan lembaga pengarah PPPNP. ”

PPPNP ialah badan kerajaan yang dipengerusikan menteri besar Perak.

Konsesi tanah itu ialah isu terbaru dalam perang mulut berterusan antara Najib dan Faizal berhubung penjualan ladang sawit milik kerajaan Perak yang didakwa antara punca penyingkiran Faizal sebagai menteri besar.

Berhubung penjualan ladang sawit itu, PT Pinang Witmas Sejati kepada sebuah syarikat di Singapura, Faizal mengulangi cadangan penjualan bermula sejak 2014, ketika Barisan Nasional berkuasa, dan kali pertama diluluskan pada 2015, tetapi gagal dimuktamadkan.

Katanya, antara sebab ia dijual ialah kos penanaman semula yang tinggi dan ketidaktentuan dasar serta undang-undang kerajaan Indonesia.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments