Friday, January 10, 2025
HomeBREAKING NEWSSokong Belanjawan 2021 lulus, terima kasih Ahli Parlimen, kata PM

Sokong Belanjawan 2021 lulus, terima kasih Ahli Parlimen, kata PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sokongan padu Ahli Parlimen membuktikan kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya sentiasa mengambil kira kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa jua keadaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyifatkan Ahli Parlimen yang menyokong Belanjawan 2021 mempamerkan kesedaran yang tinggi bahawa ia penting bagi kerajaan termasuk untuk melawan Covid-19 dan demi kebajikan rakyat.

Muhyiddin berkata, sokongan padu Ahli Parlimen juga membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya sentiasa mengambil kira kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa jua keadaan.

“Ini juga membuktikan Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong menyedari dan menginsafi bahawa belanjawan ini sangat penting kepada kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang dengan keutamaan sudah tentunya untuk melawan pandemik Covid-19 serta meningkatkan taraf hidup rakyat seluruh lapisan masyarakat terutama golongan B40, M40, golongan rentan serta golongan kurang bernasib baik.

“Pendirian Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini turut membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan ancaman Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut berterima kasih kepada semua Ahli Parlimen PN, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang meluluskan belanjawan di semua peringkat.

“Saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih kepada semua Ahli Parlimen kerajaan yang turut menyokong rang undang-undang ini ketika dibahaskan pada peringkat 27 kementerian sehingga diluluskan sama ada menerusi undian suara atau belah bahagi,” katanya.

Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini dengan majoriti tiga undi, sekali gus menamatkan cubaan pembangkang untuk menyingkir Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 bacaan kali ketiga itu dibawa untuk undian belah bahagi di Dewan Rakyat petang tadi, di sebalik pertikaian ditimbulkan pembangkang mengenai keabsahan kerajaan sekarang.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments