Wednesday, November 13, 2024
HomeBREAKING NEWSSistem persaraan Malaysia sudah lapuk, perlu diubah

Sistem persaraan Malaysia sudah lapuk, perlu diubah

Sejak Barisan Nasional (BN) mengemukakan cadangan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari Akaun 1 secara “one-off”, orang ramai mula bercakap soal tabung persaraan di Malaysia.

Saya secara asasnya melihat sebab BN mencadangkan langkah ini untuk mengatasi kesan pandemik Covid-19, dan seperti yang saya katakan sebelum ini – saya berpandangan kerajaan yang perlu berbelanja dan mula membincangkan idea “universal basic income” (UBI) di Malaysia.

Salah satu hujah BN mengeluarkan idea ini adalah rakyat ingin memulakan perniagaan atau membeli aset seperti motosikal untuk terlibat dalam ekonomi gig. Saya fikir hal ini dapat diselesaikan dengan memberi bantuan perniagaan mikro kepada rakyat yang ingin berniaga.

Walaupun saya tidak bersetuju sepenuhnya dengan BN, mereka harus dipuji kerana sekurang-kurangnya tampil dengan cadangan yang membuka ruangan kepada perbahasan – sesuatu yang diperlukan dalam negara demokrasi.

Mekanisme ketinggalan zaman

Bagi anda yang mungkin sudah lupa dengan mekanisme simpanan KWSP – secara umumnya, bagi mereka yang bergaji RM5,000 ke bawah, majikan diminta mencarum 13% dan pekerja harus mencarum 7% daripada gaji pokok. Ini menjadikan caruman bulanan pekerja dalam kategori ini berjumlah 20%.

Salah satu faktor yang perlu kita ingat dalam mekanisme ini adalah kadar caruman berdasarkan kadar gaji pokok pekerja – semakin tinggi gaji seseorang, semakin tinggi caruman bulanan mereka.

Di Malaysia, kita berdepan masalah kadar gaji tidak meningkat dan kadar peningkatan gaji dari tahun ke tahun yang rendah. Keadaan ini menyebabkan ramai pekerja mempunyai kadar simpanan KWSP yang rendah.

Sebagai contoh, KWSP pernah berkata, 71% daripada ahli aktifnya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam simpanan mereka. Berdasarkan kajian itu, ia bermakna mereka yang bersara hanya memiliki RM208 sebulan, jika mengambil kira 20 tahun kehidupan selepas bersara.

Apabila situasi ini berlaku, kebanyakan pekerja terpaksa bekerja semula selepas beberapa tahun bersara kerana kehabisan wang simpanan. Ia masalah yang benar-benar berlaku dan sepatutnya kita mencari penyelesaian kepada sistem persaraan sudah lapuk.

Untuk sesebuah sistem atau polisi berfungsi dengan baik, kita harus memastikan sistem itu memberi manfaat kepada majoriti, bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu saja.

Malangnya, di Malaysia kita memiliki banyak polisi seperti ini. Contohnya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang hanya menguntungkan segelintir elit Melayu berbanding orang Melayu berpendapatan rendah.

Jika kita perhatikan, 76.92% atau 7.4 juta pemegang unit ASB mempunyai saiz unit di bawah RM5,000 mengikut Laporan Tahunan ASB 2018. Hanya 0.24% mempunyai saiz pegangan RM500,001 ke atas.

Untuk menguatkan lagi hujah ini, 9.15% pemegang unit melanggan 81.83% jumlah unit atau lebih RM127.5 bilion. Seramai 7.4 juta pemegang unit terkecil hanya mempunyai simpanan RM4.1 bilion atau sekadar 2.65% jumlah unit. Ini masalah besar di Malaysia akibat pembuat dasar yang sering berminat menggembirakan kelompok elit.

Cari jalan tambah simpanan KWSP

Berbalik kepada isu wang persaraan rakyat, saya fikir sudah tiba masanya kita mencari mekanisme baru dalam meningkatkan wang tabung persaraan rakyat.

Untuk menyediakan model tabung persaraan baik, ia tidak boleh menggunakan model pelaburan sebagai kiblat. Kita harus mencari jalan membantu kelompok paling rentan membuat simpanan.

Salah satu cadangan saya yang mungkin kedengaran ekstrem – mengeluarkan mereka yang mempunyai gaji amat besar dalam skim persaraan dan biarkan mereka melabur dalam skim persaraan masing-masing.

Misalnya, mereka yang bergaji RM20,000 dan ke atas – mereka sepatutnya dibiarkan merancang persaraan sendiri dengan skim pelaburan/persaraan yang ada di pasaran.

Keadaan ini akan memberi ruang kepada pembuat dasar untuk memperkenalkan polisi meningkatkan kadar caruman majikan bagi mereka yang memiliki pekerja dalam kumpulan gaji besar. Peningkatan caruman majikan untuk pekerja bergaji rendah akan membantu meningkatkan tabung persaraan.

Kita juga perlu mengkaji model persaraan dari negara maju dan cuba mengambil elemen mampu dilaksanakan di Malaysia.

Sementara menunggu tabung persaraan direformasikan, saya rasa kita perlu memperbanyakkan bantuan kepada pesara. Misalnya baucar makanan bulanan dan perkhidmatan kesihatan percuma untuk penyakit kritikal, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan bebanan pesara akibat kegagalan sistem tabung persaraan kita.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments