Saturday, September 21, 2024
HomeBREAKING NEWSSingapura bakal mula Fasa 3 pemulihan, terima vaksin Covid-19 akhir tahun ini

Singapura bakal mula Fasa 3 pemulihan, terima vaksin Covid-19 akhir tahun ini

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata, berkata Pihak Berkuasa Sains Kesihatan republik itu meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech dalam menangani pandemik Covid-19. (AFP pic)

SINGAPURA: Singapura akan memasuki Fasa Tiga pembukaan semula ekonomi dan sosialnya pada 28 Dis ini, dan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 dijangka tiba ke sini hujung bulan ini.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam pengumuman mengenai perkembangan Covid-19 yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara republik itu, hari ini.

“Kini tindakan kita dalam menentang Covid-19 bertambah kukuh. Kita terus meningkatkan keupayaan dalam aspek ujian dan prosedur. Kita juga meningkatkan keupayaan pengesanan kontak. Disebabkan usaha-usaha ini, kita sekarang sudah bersedia dengan Fasa Tiga,” katanya.

Singapura yang melaksanakan tempoh “pemutusan rantaian penularan” selama lapan minggu bermula 7 Apr lepas bagi mengawal penyebaran pandemik itu, memasuki Fasa Kedua pembukaannya pada 19 Jun, selepas berada dalam Fasa Satu bagi tempoh hanya kira-kira dua minggu.

Menurut Lee di bawah Fasa Tiga, Singapura akan melonggarkan had kapasiti di kawasan awam, dan di tempat-tempat ibadat dengan “perubahan penting merujuk kepada persetujuan membenarkan kumpulan sehingga lapan jemaah berkumpul”, jumlah yang bertambah berbanding maksimum lima sebelumnya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa walaupun Singapura telah memasuki Fasa Tiga, “tempoh perjuangan masih panjang perlu diharungi sebelum beroleh kemenangan”.

“Virus Covid-19 masih belum dihapuskan sepenuhnya. Masih ada laluan jauh yang perlu ditempuhi,” katanya.

Singapura melaporkan kes pertama Covid-19 pada 23 Jan dan jumlah keseluruhan jangkitan ketika ini adalah 58,325.

Merujuk kepada vaksin, Lee berkata Pihak Berkuasa Sains Kesihatan republik meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech dalam menangani pandemik berkenaan.

“Kita juga menjangka lain-lain vaksin akan tiba di Singapura pada bulan berikutnya. Sekiranya semua berjalan mengikut rancangan, kita akan mempunyai vaksin yang mencukupi untuk semua di Singapura pada suku ketiga 2021,” kata Lee.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Singapura mewujudkan satu jawatankuasa yang dianggotai doktor serta pakar bagi mencadangkan strategi vaksinasi.

Lee berkata kerajaan menerima pelbagai cadangan, antaranya supaya keutamaan diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi seperti petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan, di samping warga emas dan kumpulan rentan.

Seterusnya jawatankuasa itu mencadangkan supaya proses vaksinasi dijalankan secara berterusan untuk penduduk selebihnya, dan meliputi seluruh penduduk negara pulau itu hujung tahun depan.

“Kita telah putuskan untuk menjadikan vaksin ini percuma kepada semua rakyat Singapura, dan juga penduduk jangka panjang yang menetap di sini ketika ini.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments