Thursday, September 26, 2024
HomeBREAKING NEWSSelamat tinggal Tun Rahah, isteri negarawan dan ibu seorang PM

Selamat tinggal Tun Rahah, isteri negarawan dan ibu seorang PM

PETALING JAYA: Rahah Mohamed Noah, isteri kepada perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein, dan ibu kepada perdana menteri keenam, Najib Razak, meninggal dunia.

Beliau meninggal dunia pada usia 87 tahun.

Difahamkan Rahah, yang dianugerahkan gelaran Tun, dalam keadaan uzur sekian lama.

Dilahirkan di Muar, Johor, Rahah adalah anak bongsu daripada keluarga empat beranak bangsawan Johor, Mohamed Noah Omar. Kakaknya, Suhailah, adalah isteri kepada perdana menteri ketiga, Hussein Onn.

Bapanya seorang penjawat awam dan seorang majistret, selain berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru Timur.

Noah juga Speaker Dewan Rakyat yang pertama dan pengasas bersama Genting Highlands Berhad.

Rahah dan kakaknya, Suhailah dan Fakhriah, mengharungi zaman sukar apabila Jepun menjajah dan mereka sekeluarga melarikan diri ke hutan di Kempas, Johor.

Pada 1952, Rahah bernikah dengan Razak, seorang setiausaha kerajaan Pahang yang kemudian menjadi perdana menteri kedua.

Pada ketika itu, beliau menjadi penaung kepada Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) dan Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Beliau juga pernah mejadi canselor Universiti Tun Abdul Razak, salah sebuah universiti swasta terawal di Malaysia, yang dinamakan sempena suaminya.

Rahah dan Razak mempunyai lima anak, Najib, Ahmad Johari, Nizam, Nazim, dan Nazir. Anak sulungnya pernah menjadi perdana menteri manakala anak bongsunya ketua eksekutif CIMB.

Pada usia 43, Rahah memikul peranan Razak menjaga anak-anak mereka selepas beliau meninggal dunia kerana leukimia.

Beliau akan dikebumikan di Masjid Negara malam ini.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments