Tuesday, May 7, 2024
HomeBREAKING NEWSSekumpulan pemimpin bahagian, negeri Pemuda Amanah sokong ‘grand coalition’

Sekumpulan pemimpin bahagian, negeri Pemuda Amanah sokong ‘grand coalition’

(Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sekumpulan pemimpin bahagian dan negeri Pemuda Amanah mendesak membuka semula pintu rundingan kepada parti-parti pembangkang lain bagi membina semula imej dan kekuatan gabungan itu.

Justeru mereka menyokong penubuhan gabungan besar parti-parti pembangkang “yang menolak kleptokrasi dan mengangkat nilai demokrasi, integriti, dan urus tadbir yang baik”.

“Sudah sampai masa pimpinan Pakatan Harapan dan parti pembangkang lain memberi fokus kepada penyatuan dan kesepaduan…untuk bergerak sebagai satu pasukan, menampilkan wajah-wajah baru kepimpinan yang segar dan mengenepikan perbezaan serta bebanan lampau,” menurut kenyataan itu, yang ditandatangani oleh 108 pemimpin pelbagai peringkat Pemuda Amanah.

Justeru mereka menyokong kenyataan presiden parti, Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengenai hala tuju PH, yang menurut mereka “ikhtiar baharu” dalam mobilisasi gabungan parti pembangkang.

Semalam, Mohamad dan Lim menggesa PH berhenti membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan yang memperalatkan mereka, mengatakan PH perlu hadapi hakikat pembangkang perlukan anjakan baharu selepas gagal menghalang Belanjawan 2021 daripada diluluskan di Dewan Rakyat.

Kedua-dua pemimpin itu mahukan PH memberi fokus kepada penyatuan parti-parti di luar kerangka gabungan itu, dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Sebelum ini, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang dilihat sebagai ketua utama PH menolak kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad dan kumpulannya.

Presiden Warisan, Shafie Apdal, sebelum ini turut melontar keperluan menukar kepimpinan PH untuk menjadikan pembangkang kuasa politik yang lebih kuat.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments