Wednesday, November 13, 2024
HomeBREAKING NEWSSaman Azilah jika fitnah, peguam saran Najib

Saman Azilah jika fitnah, peguam saran Najib

PETALING JAYA: Najib Razak patut memfailkan saman fitnah terhadap Azilah Hadri yang mendakwa bekas perdana menteri itu mengarahkan pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kata seorang peguam.

Americk Sidhu berkata tindakan saman akan membantu Najib membersihkan namanya kerana akuan berkanun (SD) bekas polis itu mencemar namanya.

“Najib patut memfailkan saman bukan dengan niat untuk mendapatkan ganti rugi tetapi menebus reputasinya di mata masyarakat,” katanya kepada FMT.

Americk berkata sebelum ini pilihan yang boleh diambil bekas perdana menteri itu terhadap dakwaan Azilah terhad kerana hal Altantuya dan bekas polis itu masih berjalan di mahkamah.

Semalam, Mahkamah Persekutuan membuang permohonan Azilah yang memohon semakan ke atas pensabitan bunuh dan hukuman mati.

Sementara itu, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata polis harus menyiasat kandungan SD itu dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap Najib atau Azilah.

Katanya, keputusan mahkamah tidak sentuh pun kebenaran dakwaan SD itu, hanya mengatakan Azilah tidak memberikan keterangan dan oleh itu tidak penuhi kriteria untuk semakan.

Syed Iskandar berkata Azilah tentu sedar akan berdepan pendakwaan jenayah sekiranya SD itu tidak berasas dan tidak dapat dijustifikasikan.

“Dia boleh didakwa mengikut Akta SD atau Kanun Keseksaan kerana bersumpah sesuatu yang tidak benar,” katanya.

Beliau menambah Najib juga boleh didakwa sekiranya dakwaan Azilah didapati benar.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments