Monday, November 18, 2024
HomeBREAKING NEWSRundingan agih kerusi UMNO- PAS diteruskan, akan bawa ke BN-PN, kata Annuar

Rundingan agih kerusi UMNO- PAS diteruskan, akan bawa ke BN-PN, kata Annuar

Annuar Musa berkata, PAS terbabit dalam rundingan pembahagian kerusi, tetapi melalui platform PN, begitu juga UMNO akan membincangkan pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen BN terlebih dahulu.

PETALING JAYA: Annuar Musa berkata, UMNO masih meneruskan rundingan pembahagian kerusi dengan PAS dan parti komponen dalam Barisan Nasional, sebelum dibawa ke peringkat seterusnya antara BN dan Perikatan Nasional.

“Rundingan berjalan terus dengan PAS, tetapi peringkat seterusnya, kita akan bawa ke gabungan masing-masing, UMNO dalam BN dan PAS dalam PN.

“Jadi, mula-mula kita bincang dulu di peringkat parti, antara UMNO-PAS, UMNO-MCA, UMNO-MIC dan UMNO-PBRS, dalam PN juga mereka ada empat parti, sama macam dalam BN. Jadi, peringkat seterusnya antara gabungan dengan gabungan itu maksudnya,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan kepada penduduk Parlimen Cheras di Taman Permainan Kanak-kanak di Taman Segar Cheras.

Beliau menepis dakwaan UMNO dan PAS tidak lagi meneruskan rundingan pembahagian kerusi, susulan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki yang parti itu tidak akan berunding secara terus dengan PAS mengenai soal pengagihan kerusi, sebaliknya menggunakan platform BN dan PN untuk berbuat demikian.

Ia selepas semua parti dalam kerajaan PN bersetuju menubuhkan majlis presiden bagi mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan dan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Annuar berkata, maksud sebenar Asyraf tidak dilaporkan media secara menyeluruh menyebabkan timbul salah faham.

“Yang dimaksudkan Asyraf ialah perundingan final selepas ini kerana kita menghormati kedudukan PAS sebagai ahli parti PN, itu maksudnya. Dalam perundingan itu antara (BN-PN), PAS terlibat tetapi ia melalui platform PN, sama juga sebelah UMNO, kita dalam BN.”

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments