KUALA LUMPUR: Kontrovesi perobohan sebuah kuil Hindu di Kedah timbul semula dengan sebuah aktivis kaum India mendesak menteri besar negeri itu memohon maaf dan memastikan rumah ibadat itu di bina semula di tapak baharu.
Presiden Gabungan NGO Hindu dan Kuil Malaysia, V Kandasamy, berkata komen Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor amat mengguris hati kaum India yang mempersoalkan perobohan kuil itu tiga minggu lalu.
“Menteri besar harus memohon maaf kerana membuat komen tidak beretika terhadap kaum India…susulan perobohan kuil itu,” kata beliau mewakili gabungan pertubuhan bukan kerajaan kaum India.
Sanusi sebelum itu menuduh pemimpin MIC sebagai menggunakan isu perobohan kuil itu untuk menjadi ‘hero rakyat’ dan menyifatkan parti itu tidak relevan lagi.
Beliau juga menuduh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy sebagai “minum hanya sebotol (todi) tetapi mabuknya dua tiga botol”.
Sanusi berkata demikian dalam mempertahankan tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah kerana ia dibina tanpa kelulusan dan pihak kuil tidak mengendahkan notis yang dikeluarkan.
Kandasamy berkata Sanusi harus memohon maaf atas penggunaan kata-kata kesat terhadap pemimpin masyarakat India.
Beliau juga mahukan jaminan Kuil Raja Muniswarar Temple akan dibina semula di tapak baharu yang dipersetujui sebelum ini.
Kandasamy turut merayu kepada Yang di-Pertuan Agong and Sultan Kedah untuk mengambil tindakan sesuai terhadap Sanusi demi memastikan beliau atau mana-mana pemimpin lain tidak lagi mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Beliau berkata masyarakat India masih terkilan dengan kritikan Sanusi yang tidak berhemah.
“Sebagai MB Kedah, beliau sepatutnya mendapatkan maklum balas daripada pemimpin masyarakat dan agama tempatan untuk mengelakkan rumah ibadat dirobohkan,” kata beliau.
Kandasamy berkata banyak kuil Hindu di Malaysia dibina sebelum kemerdekaan, justeru isu perobohan tanpa pertimbangan wajar harus dielakkan.
Beliau menuduh Sanusi sebagai “langsung tidak menghormati perasaan masyarakat India.”