Friday, November 15, 2024
HomeBREAKING NEWSRapat saf halang gabungan pembangkang yang besar kembali berkuasa, seru Annuar

Rapat saf halang gabungan pembangkang yang besar kembali berkuasa, seru Annuar

Annuar Musa.

PETALING JAYA: Parti pemerintah khususnya parti politik Melayu dan gerakan politik Islam perlu bergandingan dan mengelak daripada berpecah bagi menghalang “gerakan dari luar” melemahkan kesatuan umat, kata Annuar Musa.

Setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, gandingan Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan Gabungan Parti Sarawak mesti kekal bersatu menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya “pro-liberal” dan “pro-sosialis” daripada kembali berkuasa.

Annuar memberi amaran kegagalan PN, BN, dan GPS bekerjasama membuka peluang kepada PH mengambil alih semula Putrajaya melalui “gabungan pembangkang yang besar”.

“Gandingan UMNO, PAS, PPBM, dan GPS menumbangkan pemerintahan PH yang pro-liberal dan pro-sosialis memberi tamparan hebat kepada gerakan antarabangsa tertentu.

“Kegagalan mereka membawa ICERD, Statut Rome, komunis Malaysia, LGBT dan lain-lain membuatkan mereka kini cuba bangkit semula bawah satu gabungan pembangkang yang besar.

“Sekiranya muafakat kita – PN, BN, dan GPS – runtuh, sudah pasti mereka akan kembali,” katanya di Facebook, sambil menyifatkan PRU-15 sebagai ibu segala pilihan raya.

Beliau mengingatkan semua pihak “awasai segenap gerakan” dan “rapatkan sat perjuangan rakyat berbilang bangsa”.

Sebelum ini semua parti dalam kerajaan PN bersetuju sebulat suara menubuhkan Majlis Presiden bagi mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan dan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada masa sama, pemimpin DAP dan Amanah mahu Pakatan Harapan memberi fokus kepada penyatuan parti di luar kerangka gabungan itu dalam menghadapi PRU-15, dan menyokong penubuhan gabungan besar parti-parti pembangkang “yang menolak kleptokrasi dan mengangkat nilai demokrasi, integriti, dan urus tadbir yang baik”.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments