KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memberi penghormatan terakhir kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, malam ini.
Tunku Azizah yang tiba di perkarangan masjid berkenaan bersama pegawai pengiring kira-kira 8 malam, meluangkan sedikit masa bersama keluarga Ungku Aziz.
Turut kelihatan di masjid berkenaan anak perempuan Ungku Aziz, Zeti Akhtar, yang merupakan pengerusi Permodalan Nasional Berhad.
Ungku Aziz, tokoh akademik berusia 98 tahun, meninggal dunia kira-kira 4 petang tadi, dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, malam ini.
Beliau dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Jan 1922.