KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak berminat menjadi parti mesra Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebaliknya mahu menggantikan gabungan itu sebagai kerajaan negeri, kata presidennya Wong Soon Koh.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata PSB bebas bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang memenuhi cita-citanya untuk membentuk Sarawak yang lebih baik kerana “kami percaya dengan usaha membina jambatan untuk bersatu, bukan tembok untuk memecah belah”.
“Kami telah berunding dengan tokoh pembangkang Sarawak yang selari pemikirannya untuk mencari jalan ke arah kebersamaan serta saling membentuk sinergi politik serta kerjasama.
“Tetapi kami juga secara terbuka telah ‘diingatkan’ oleh anggota pembangkang lain bahawa kami adalah ‘rakan kerja’ di barisan pembangkang yang masih hijau, dan dilabel serta diperkecilkan di media sosial sebagai ‘pro-GPS’.
“Oleh itu, saya ingin meyakinkan semua rakyat Sarawak, terutama penyokong kami, bahawa PSB tidak berniat untuk bergabung dengan GPS sebaliknya ingin menggantikan GPS,” katanya.
Wong, yang juga ADUN Bawang Assan, berkata PSB selalu melayan anggota pembangkang lain dengan hormat dan menghargai usaha mereka dalam menonjolkan ketidakcukupan dan ketidakupayaan GPS sebagai pemerintah negeri, yang “penuh dengan janji kosong tanpa sebarang tindakan”.
Jelasnya, prinsip partinya sangat jelas bahawa mereka tidak akan menjawab kepada atau diarah oleh mana-mana ahli politik atau parti dari Malaysia Barat.
“PSB adalah untuk Sarawak dan oleh rakyat Sarawak, bersatu bawah payung ke arah membawa perubahan untuk Sarawak yang baru dan lebih baik,” kata beliau.