Friday, April 26, 2024
HomeBREAKING NEWSPolis selesai kes bunuh rakan jenayah dalam tempoh 24 jam

Polis selesai kes bunuh rakan jenayah dalam tempoh 24 jam

Ketua Polis Melaka, Abdul Majid Mohd Ali (tengah) menunjukkan gambar lokasi penempuan mayat seorang lelaki dalam sebuah kereta berhampiran Rumah Pangsa Batu Berendam. (Gambar Bernama)

MELAKA: Polis berjaya menyelesaikan satu kes bunuh yang dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati membabitkan empat suspek penjenayah, dalam tempoh 24 jam dengan penahanan tiga lelaki minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Abdul Majid Mohd Ali, berkata tangkapan dibuat susulan penemuan satu mayat lelaki di dalam sebuah kereta berhampiran Rumah Pangsa Batu Berendam pada 7 Jan.

“Suspek pertama berusia 39 tahun ditahan kira-kira jam 10 malam pada hari sama mayat ditemui di negeri ini. Soal siasat terhadap suspek membawa kepada tangkapan dua lagi lelaki berusia 34 dan 42 tahun di Ipoh, Perak pada 9 malam, Isnin lalu (11 Jan),” katanya pada sidang media.

Isteri mangsa membuat laporan polis pada 6 Jan selepas suaminya yang berusia 38 tahun tidak pulang ke rumah, sebelum mayat lelaki itu ditemui di dalam keretanya dalam keadaan tertiarap dengan kesan tikaman pada perut dan leher di kawasan flat tersebut.

“Pemeriksaan di sekitar premis menemukan kesan darah yang membawa kepada sebuah unit yang disewa seorang daripada suspek. Mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemukan,” katanya.

Siasatan awal ke atas suspek mendapati motif pembunuhan disebabkan rasa tidak puas hati antara mereka selepas melakukan samun ke atas sebuah kedai serbaneka di Kota Laksamana pada 4 Jan lalu.

“Mangsa dan tiga suspek itu adalah rakan jenayah dan dipercayai aktif dalam kegiatan samun kedai serbaneka 24 jam di negeri ini sejak dua bulan lalu.

“Semakan turut mendapati semua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan saringan air kencing mereka positif methamphetamine,” katanya.

Semua mereka direman tujuh hari hingga 18 Jan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kami percaya dengan tertangkapnya suspek pertama, polis berjaya menyelesaikan kes bunuh tersebut dalam tempoh 24 jam,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments