Sunday, September 8, 2024
HomeBREAKING NEWSPihak lain tak perlu campur saman perisytiharan darurat, kata peguam

Pihak lain tak perlu campur saman perisytiharan darurat, kata peguam

Syed Iskandar Jaafar Al-Mahdzar membantah permohonan Persatuan Peguam Muslim dan empat yang lain untuk menjadi pencelah dalam samannya.

KUALA LUMPUR: Peguam yang memohon perisytiharan mahkamah sama ada keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan perisytiharan darurat oleh perdana menteri bercanggah dengan Perlembagaan berkata, beliau cukup layak untuk mewakili semua peguam Islam.

Syed Iskandar Jaafar Al-Mahdzar berkata, saman pemula yang difailkan pada 30 Okt lepas hanya berkait persoalan undang-undang dan Persatuan Peguam Muslim (PPM) tidak perlu menjadi pihak dalam tindakan itu.

“PPMM mewakili kepentingan kelompok dan agama, bukannya kepentingan Persekutuan.

“Badan Peguam yang mewakili semua komuniti tanpa mengira kaum, agama, kepercayaan, dan latar belakang,” kata Syed Iskandar dalam afidavit membantah permohonan PPMM dan empat yang lain untuk menjadi pencelah.

Justeru permohonan PPMM dibuat dengan niat jahat dan sangkaan buruk, katanya.

Pihak lain yang memohon sebagai pencelah ialah Center For Better Tomorrow dan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Malcolm Fernandez, dan Nazirah Abdul Rahim.

Setiausaha PPMM, Ridha Abdah Subri, berkata mereka memohon menjadi pencelah untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Ridha berkata, PPMM mempunyai kepentingan undang-undang kerana sebilangan ahlinya menasihati majlis agama di beberapa negeri, dan kerajaan, yang dinamakan sebagai defendan, berkemungkinan menyokong tindakan Syed Iskandar.

Dalam responsnya, Syed Iskandar berkata, kerajaan, yang diwakili Jabatan Peguam Negara, cukup berkemampuan untuk mewakili kepentingan semua institusi.

“Bawah perlembagaan persekutuan, peguam negara adalah penjaga dan pengawal kepentingan awam,” katanya dalam afidavit yang dilihat oleh FMT.

Beliau berkata, Agong tidak boleh dinamakan sebagai pihak dalam samannya kerana tidak tertakluk kepada mana-mana prosiding atas kapasiti rasmi berikutan kekebalan kedudukan itu.

Syed Iskandar berkata, empat pencelah lain tidak menjelaskan bagaimana kepentingan sah mereka akan terjejas secara langsung oleh keputusan saman.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mariana Yahya, menetapkan 16 Feb untuk mendengar permohonan pencelah.

Dalam afidavit menyokong permohonannya, Syed Iskandar, berkata dengan tidak menerima nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yasin atau Jemaah Menteri, Agong tidak menjalankan fungsinya mengikut Perkara 40 dan 150 perlembagaan.

Pada 23 Okt, Muhyiddin menasihatkan Agong supaya membuat perisytiharan darurat mengikut Perkara 150 selepas Jemaah Menteri bersetuju mengenainya dalam satu mesyuarat khas.

Dua hari selepas itu, selepas mesyuarat khas dengan Majlis Raja-raja, Agong menetapkan perisytiharan darurat di seluruh atau sebahagian daripada Malaysia tidak perlu.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments