Sunday, September 29, 2024
HomeBREAKING NEWSPesara tentera ubah suai kenderaan untuk jaja kopi

Pesara tentera ubah suai kenderaan untuk jaja kopi

Mohd Ariff, dari peminat kopi beralih kepada peniagaan menjual kopi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dari minat kemudian beralih kepada perniagaan. Oleh kerana minatnya yang mendalam terhadap kopi, Mohd Ariff Sharudin, 47, telah mengubah suai kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya sebagai kedai kopi untuk menjalankan perniagaan menjual kopi.

Pesara tentera yang telah menamatkan perkhidmatan pada 2017 ini mengakui dia tidak pernah termimpi untuk menceburi bidang ini namun kecintaan mendalam terhadap kopi telah menggerakkannya untuk berkongsi keenakan kopi bersama peminat minuman itu.

Membawa jenama ‘Ariff Coffee First’ yang bertapak di Ampangan, Mohd Ariff berkata peniagaan yang diasaskan sejak hampir lima tahun lepas tercetus selepas kunjungannya bersama isteri ke New Zealand.

“Saya memang seorang peminat kopi dan ketika saya dan isteri berada di New Zealand pada tahun 2004, saya mellihat perbezaan cara mereka berniaga yang menggunakan pengangkutan untuk menjual kopi.

“Saya cuba bawa idea itu ke dalam negara dan memulakan perniagaan sebagai pembuat kopi jalanan dengan menggunakan kenderaan,” katanya.

Mohd Ariff berkata meskipun orang ramai mempunyai pelbagai pilihan jenama kopi yang lain, namun baginya kopi yang dihasilkan itu memiliki peminat tersendiri, yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia yang datang dari pelbagai pelosok daerah di Negeri Sembilan.

Menurut bekas jurulatih fizikal di Kem Rasah, Seremban itu lagi, beliau mula mempelajari selok-belok teknik menghasilkan kopi sebaik sahaja membeli mesin membuat kopi daripada seorang penjual.

“Bermula dari situ saya belajar mengendalikan alat berkenaan dan mula mahir mengunakannya. Memang pada mulanya saya tidak pandai mengolah kopi, namun saya cuba mempelajari ilmu menghasilkan kopi melalui laman sosial YouTube,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, sebaik sahaja berjaya menguasai beberapa teknik penghasilan kopi, beliau kemudian mengubah suai kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Kia Sportagenya dengan modal permulaan RM50,000 untuk memasukkan kesemua peralatan menghasilkan kopi dan menjualnya di jalanan.

“Dalam kenderaan saya segalanya cukup, antaranya ada mesin membuat kopi, pengisar, singki, mesin penjana elektrik, meja serta kerusi. Barangan seperti ini sangat penting kerana ia antara peralatan wajib dalam membuka sebuah kedai kopi,” katanya.

Mohd Ariff berkata biji kopi yang digunakan merupakan jenis ‘Gayo’ yang diimport khas dari Acheh, Indonesia, dan beliau memerlukan kira-kira 20 kilogram kopi untuk kegunaan bagi tempoh sebulan.

Anak kelahiran Perak itu berkata kopinya dijual sekitar RM5 hingga RM12 secawan dan beliau mampu meraih lebih RM200 sehari dengan kira-kira 50 cawan kopi terjual.

“Antara kopi yang ada ialah cappucino, latte, mocha, black coffee dan espresso, kopi yang sering menjadi pilihan ramai ialah kopi mocha serta latte,” katanya dan menambah perniagaannya beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula dari pukul 7.00 pagi hingga 12.30 tengah hari manakala pada hujung minggu dan cuti umum bermula dari pukul 7.00 pagi hingga 2.00 petang.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments