Tuesday, December 24, 2024
HomeBREAKING NEWSPerseteruan Mahathir-Anwar halangan kepada ‘grand coalition’, kata penganalisis

Perseteruan Mahathir-Anwar halangan kepada ‘grand coalition’, kata penganalisis

Cabaran utama adalah memujuk Mahathir dan Anwar untuk mengetepikan ego mereka, kata seorang penganalisis.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) boleh menubuhkan “grand coalition” atau gabungan besar jika ia dapat menangani perbezaan pendapat antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, menurut penganalisis politik.

Mereka memberitahu FMT, PH mungkin perlu mengatasi halangan itu sebelum merancang untuk mengembangkannya sebagai gabungan.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, cabaran utama adalah memujuk Mahathir dan Anwar untuk mengetepikan ego mereka.

Beliau berkata, PH boleh menggunakan kedua-duanya untuk tujuan politik yang berbeza, seperti menggunakan karisma Mahathir untuk menarik parti pembangkang ke dalam gabungan baharu dan mencadangkan Anwar sebagai perdana menteri seterusnya kerana popularitinya.

Katanya, kedua-duanya berminat menggulingkan Perikatan Nasional (PN) dan kegagalan mereka untuk bekerjasama mungkin akan menyaksikan gabungan kerajaan mendapat keuntungan pada pilihan raya akan datang.

Semalam, Presiden Amanah Mohamad Sabu menyatakan partinya bersedia memainkan peranan sebagai pendamai untuk menyatukan parti pembangkang membentuk gabungan besar bagi pilihan raya akan datang.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, pembangkang perlu bekerjasama dengan sebanyak mungkin parti politik untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Amanah boleh memainkan peranan untuk perbincangan dan rundingan, tetapi pada akhirnya, “semua personaliti yang dominan perlu meneroka pelbagai kemungkinan bagi Anwar dan Mahathir untuk bekerjasama.”

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Amanah dan DAP tetap mahukan Mahathir berada dalam PH untuk terus ke hadapan.

Kedua-dua pihak berterima kasih kepada Mahathir kerana memberi mereka kedudukan strategik ketika gabungan itu berkuasa, katanya.

Beliau menyatakan, jawatan penting seperti menteri kewangan, tidak akan dipegang PKR dan katanya ini mungkin kerana Mahathir mahu menghalang individu yang rapat dengan Anwar daripada menguasai kementerian penting.

Katanya, Amanah mungkin meneruskan naratifnya bahawa Mahathir masih diperlukan dalam PH.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments