KOTA KINABALU: Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030, yang dilancarkan pada Rabu lalu diharap mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan industri pelancongan desa bernilai tinggi, khususnya di Sabah, kata Pengerusi Persatuan Mesilou Atamis Homestay Azizul Julirin.
Azizul berkata ini termasuk memperkasa produk-produk kebudayaan, seni, warisan, rekreasi dan alam semula jadi yang terdapat di luar bandar, sekali gus meningkatkan sumber pendapatan menguntungkan kepada penduduk di kawasan berkenaan, dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negeri.
“Pelancaran DPN adalah tepat pada masanya. Pengusaha pelancongan desa terutama di Sabah yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 memerlukan hala tuju lebih jelas, agar mereka kembali bermotivasi dan mengerakkan semula sektor ini terutama dalam aspek pelancongan domestik,” katanya yang turut bergiat aktif dalam industri pelancongan desa itu kepada Bernama.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika berucap melancarkan DPN secara dalam talian pada 23 Dis lalu berkata, dasar itu bermatlamat menjamin kelangsungan industri pelancongan negara, serta kembali menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global.
Ia akan dicapai melalui pendekatan utama merangkumi pengukuhan daya saing, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif, serta kesediaan mengharungi bencana pada masa akan datang.
Dasar berkenaan akan dilaksanakan menerusi enam teras strategik utama, iaitu transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif dan menggiatkan digitalisasi pelancongan.
Tiga lagi teras ialah memperkaya pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuh komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan, dalam semua subsektor pelancongan.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah Walter Kandayon berkata, teras digariskan dalam dasar berkenaan terutama berkaitan meningkatkan kapasiti modal insan sangat bertepatan, kerana ia perlu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk mengendalikan sektor tersebut.
Justeru, Walter berkata, kursus kemahiran dalam pelbagai bidang pelancongan seperti hospitaliti, pengurusan kewangan, pemasaran dan promosi amat diperlukan, khususnya di Sabah bagi mencapai matlamat itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Walter berkata, kualiti kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan jaringan internet di luar bandar Sabah juga perlu ditingkatkan, memandangkan permata pelancongan di negeri itu kebanyakannya terletak di kawasan berkenaan.
Selain itu, kawasan luar bandar di negeri ini juga berpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan penyelidikan terutama yang mempunyai hutan, dan ia diyakini mampu menarik lebih ramai penyelidik datang ke Sabah, katanya.