Wednesday, November 27, 2024
HomeBREAKING NEWSPermohonan Azeez batal 12 tuduhan rasuah & ubah wang haram, bermula 25...

Permohonan Azeez batal 12 tuduhan rasuah & ubah wang haram, bermula 25 Jan

Bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim berdepan 12 pertuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 12 pertuduhan menerima rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta pengubahan wang haram yang dihadapinya akan didengar pada 25 Jan depan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya S.Kirubini kepada media selepas pengurusan kes dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noraziha Asmuni.

“Pihak pendakwaan selaku responden akan memfailkan afidavit pada 6 Jan 2021 manakala afidavit jawapan akan difailkan oleh pihak peguam (mewakili pemohon) pada 13 Jan tahun depan,” katanya.

Peguam Joshua Tay yang mewakili Abdul Azeez berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin.

“Pihak kami telah memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas (11 Dis),” katanya.

Perbicaraan kes rasuah Abdul Azeez dan abangnya Abdul Latif telah berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi dengan lima saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan. Perbicaraan akan bersambung pada 8 Feb tahun depan.

Ahli Parlimen Baling itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek berkenaan serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Dis 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abangnya Abdul Latif dituduh bersubahat dengan Abdul Azeez yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments