GEORGE TOWN: Lebih 1,000 penduduk di Flat Desa Bistari, Batu Uban di sini memohon bantuan makanan berikutan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di kawasan itu dilanjutkan sehingga 31 Dis ini.
Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Bestari Md Yusry Md Yusoff berkata, bantuan makanan yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin sebelum ini tidak mencukupi kerana penduduk di situ terpaksa berkongsi.
“Memang kami ada terima bantuan makanan sebelum ini namun pek-pek (makanan) yang diterima itu diberikan kepada penghuni di Blok A dan B seperti warga emas serta ibu-ibu tunggal yang kehilangan pendapatan.
“Semalam, pihak kerajaan umumkan PKPD dilanjutkan dan ia menyebabkan mereka yang mencari rezeki sebagai peniaga, penghantar makanan dan yang menerima gaji harian tiada pendapatan kerana tidak boleh bekerja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Md Yusry berkata, penduduk di situ, terutama warga emas memerlukan bantuan makanan asas seperti beras, telur, sardin, biskut dan gula.
“Kami amat mengalu-alukan sumbangan makanan daripada sesiapa sahaja yang sudi menyalurkan bantuan untuk meringankan beban penghuni di sini, mereka boleh menghubungi saya di talian 017- 4204122,” katanya.
PKPD dilaksanakan membabitkan dua lokaliti zon merah, iaitu flat di Persiaran Paya Terubong, Relau dan Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban.
Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah itu dilanjutkan atas nasihat dan penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).