Sunday, September 22, 2024
HomeBREAKING NEWSPemilik rumah ‘amuk’ dua anggota polis ditahan

Pemilik rumah ‘amuk’ dua anggota polis ditahan

Suspek kini ditahan reman selama empat hari serta disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pemilik rumah di Damansara Damai kerana disyaki menyerang dua anggota polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam insiden kira-kira 2 pagi itu, pihaknya mendapat aduan ada orang mengamuk di kawasan tersebut.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, dua anggota polis memanggil penghuni rumah terbabit yang merupakan seorang lelaki tempatan (suspek) tetapi lelaki itu tiba-tiba bertindak membaling pinggan kaca ke arah mereka.

“Seorang daripada anggota terbabit mengalami luka di bahagian siku dan pada masa sama, suspek berusia 48 tahun itu cuba menyerang kedua-dua anggota polis dengan sebilah pisau pemotong dan penukul,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua anggota polis mengalami kecederaan ringan selepas bergelut untuk menahan suspek yang bertindak agresif dan mereka kemudian mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek memiliki lebih lima rekod jenayah lampau dan kes dadah.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari serta disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments