PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen pembangkang, Maria Chin Abdullah kecewa Dewan Rakyat menolak usul supaya peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dipotong secara keseluruhan.
Beliau berkata tujuan beliau mengusulkan pemotongan peruntukan itu adalah untuk membantu kerajaan menfokuskan anggaran belanjawannya.
“Pada masa krisis, kita perlu mengutamakan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, pekerjaan, meletakkan makanan atas meja mereka, ubat-ubatan bagi melindungi orang ramai daripada bahaya dan perkhidmatan yang membawa kesejateraan untuk rakyat.
“Sebagai Ahli Parlimen, ini harus menjadi prioriti kita, tanpa kira parti atau politik. Sebab itu saya rasa kecewa kerana menteri (Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah) masih berpendapat bahawa JASA berorientasikan masyarakat,” katanya kepada FMT.
Usul supaya peruntukan itu dipotong dan dihapuskan dibuat oleh Wilfred Madius Tangau (Warisan-Tuaran), Maria Chin (PH-Petaling Jaya), Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Fuziah Salleh (PH-Kuantan) dan Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) Khamis lepas.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berkata, J-KOM bermatlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat yang tepat, sahih serta bijaksana.
Ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu, kerajaan pada awalnya memperuntukkan RM85.5 juta kepada JASA yang dijenamakan semula sebagai J-KOM di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)
Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan peruntukan itu sebanyak 50% kepada RM40.5 juta.
Dalam pada itu, Maria berkata, Saifuddin mengabaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pencadang usul supaya memotong peruntukan JASA.
Katanya, JASA mesti ditolak kerana kakitangannya adalah lantikan politik dan ditubuhkan untuk tujuan propaganda kerajaan.
“Kalau kita kaji sejarah JASA, komunikasinya bukan menyampai perkhidmatan kepada komuniti, tetapi membawa berita yang mengelirukan saperti mempromosikan politik perkauman, politik memecahkan perpaduan dan mengganggu pergerakan NGO.
“Pada 2012 dan 2016 JASA mengeluarkan buku risalah yangmemburukkan BERSIH 2.0 dan menuduh pergerakan ini ganas dan hendak menjatuhkan kerajaan.
“Tetapi sampai sekarang kes terhadap BERSIH telah dimenangi dan tidak ada bukti yang menunjukkan tuduhan tersebut,” katanya.
Maria berkata Malaysia tidak perlukan agensi yang memecahkan pepaduan dan merosakkan keharmonian hidup rakyat.
Katanya, kewujudan JASA tidak perlu kerana di bawah Kementerian Multimedia dan Komunikasi sudah ada Jabatan Penerangan Negeri (JaPen).
“JaPen dapat memainkan peranan untuk komunikasi masyarakat melalui programnya seperti ‘Info on Wheel’ yang menyaksikan mereka masuk ke komuniti membuat pengumuman
“Atau melalui Program Sembang Warong yang menyasikan mereka bersembang dengan rakyat di warung dan kafe untuk menyebarkan maklumat,” katanya.
Maria berkata dana RM85 juta yang diperuntukkan kepada JASA wajar disalurkan bagi membangunkan kapasiti JaPen supaya mereka lebih profesional dan berkesan.
“Dana RM85 juta cukup untuk menaikkan kapasiti JaPen dan meningkatkan gaji pegawainya sebagai insentif,” katanya.