Thursday, September 19, 2024
HomeBREAKING NEWSPekerja Myanmar maut dihempap kren di kilang besi

Pekerja Myanmar maut dihempap kren di kilang besi

Ketika kejadian, kren yang sedang dikendalikan pekerja lain bagi memindahkan besi, rosak sebelum terbalik dan menghempap mangsa berusia 30-an.

BUTTERWORTH: Seorang pekerja kilang warga Myanmar maut selepas jentera kren terbalik sebelum menghempapnya dalam kejadian di sebuah kilang besi di Perai semalam.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Syamzul Razman Abd Halim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8.23 malam.

“Berdasarkan maklumat, kren tersebut yang sedang dikendalikan pekerja lain bagi kerja memindahkan besi yang siap di kilang berkenaan rosak sebelum terbalik dan menghempap mangsa.

“Kami dimaklumkan mangsa sedang melakukan kerja di bahagian bawah jentera kren itu sebelum kejadian tersebut dan bomba terpaksa menggunakan kren lain untuk mengeluarkan mangsa kira-kira 45 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 30-an, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments