Sunday, November 24, 2024
HomeBREAKING NEWSPekerja asing tidak dapat rawatan sewajarnya, dakwa Kula

Pekerja asing tidak dapat rawatan sewajarnya, dakwa Kula

PETALING JAYA: Kematian pengawal keselamatan Top Glove warga Nepal yang meninggal dunia akibat Covid-19 baru-baru ini dapat dielakkan sekirannya tindakan awal segera diambil, kata bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran.

Dakwa beliau juga, kejadian itu juga bukan satu kes kecuaian terpencil. Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata kematian seorang pengawal keselamatan itu boleh dielakkan sekiranya mangsa segera diberi rawatan awal. Mangsa dikatakan berada di peringkat akhir jangkitan Covid-19 ketika dimasukkan ke hospital.

Sambil menggesa Putrajaya memperbaiki keadaan tempat kerja, Kula berkata banyak perkara yang negara abaikan berkaitan Deklarasi Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung kesaksamaan melalui keadaan bekerja yang munasabah, meskipun Malaysia bersetuju melaksanakannya pada 2019.

“Dalam perbincangan dengan pihak daripada pelbagai industri, saya diberitahu insiden pekerja asing yang sakit tidak diberikan rawatan perubatan segera dan ia kadang-kadang menyebabkan kematian yang sepatutnya boleh dielakkan.

“Ramai pekerja asing tidak mempunyai kenderaan sendiri dan mereka terpaksa berjalan jauh untuk mendapat rawatan. Mereka tidak mampu jatuh sakit kerana mereka tidak dapat menanggung caj rawatan yang lebih tinggi bagi warga asing,” katanya.

Beliau menggesa Putrajaya bekerja rapat dengan ILO untuk menambah baik keadaan bekerja dalam negara sambil menyebut Malaysia menandatangani program “Decent Work Country” bagi tempoh 2019 hingga 2025 oleh pentadbiran lepas.

Kula berkata syarikat yang mahu mengambil pekerja asing harus dinilai secara menyeluruh untuk memastikan perumahan yang sesuai dan keadaan kehidupan yang selesa disediakan.

Katanya, prosedur respons keselamatan juga mesti disediakan untuk mengelak kejadian sama menimpa warga Nepal itu tidak berulang.

“Dalam konteks Covid-19, persoalan yang berkaitan adalah: berapakah pekerja asing yang dijangkiti seperti pengawal keselamatan berkenaan? Adakah beliau satu-satunya yang dimasukkan ke hospital yang tidak dapat diselamatkan?

“Kesihatan pekerja warga Malaysia yang bekerja dengan pekerja asing terbabit turut terancam ekoran kecuaian itu,” katanya.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments