Tuesday, November 5, 2024
HomeBREAKING NEWSPastor Korea pekak dan bisu, dituduh cabul kehormatan dua lelaki

Pastor Korea pekak dan bisu, dituduh cabul kehormatan dua lelaki

BUTTERWORTH: Seorang pastor warga Korea yang pekak dan bisu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan dua lelaki di apartmen miliknya dalam dua kejadian berasingan pada 2013 dan 2017.

Jee Jon Hoon, 54, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan memeluk, mencium dan meraba alat sulit mangsa pertama berusia 28 tahun kira-kira jam 12.20 tengah hari sekitar Oktober 2013 di Apartmen Seri Cemerlang, di sini.

Dia turut dituduh melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di lokasi berkenaan pada jam 11 malam, sekitar Julai 2017.

Jee didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas tuduhan menyerang atau menggunakan paksaan jenayah dengan niat mencabul kehormatan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Pengakuan tertuduh bagaimanapun tidak direkodkan kerana Jee tidak dapat memahami terjemahan jurubahasa isyarat disediakan.

Peguam bela G Shanmugam berkata, anak guamnya tidak dapat memahami bahasa isyarat Malaysia kerana hanya mengetahui bahasa isyarat antarabangsa.

Majistret Kalaiarasi Muniandy menetapkan sebutan kes pada 18 Jan untuk memperolehi khidmat jurubahasa isyarat antarabangsa bagi merekodkan pengakuan tertuduh.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Azlin Zeti Zainal Abidin, manakala Jee turut diwakili Adlin Farhana Ismail.

Bukit Aman sebelum ini berkata pastor itu yang meraba lima lelaki antara 2011 hingga 2016.

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments